....

.....

11 October 2010

12 MENGANGGUR

BELALANG GORENG SEDAP DI MAKAN ihsan samudera Tinta

Masa menunggu keputusan peperiksaan adalah suatu waktu yang terlalu membosankan. Saya tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Cuma saya menghabiskan masa ke sawah padi atau ke mana-mana parit atau tandak untuk menangkap ikan.  Waktu petang saya akan ke bendang untuk menangkap ikan di tandak kampung tua  menggunakan Jahil.
     Apabila tiba musim padi masak saya membantu nenek membanting padi di bendang Anak Air.  Apabila balik sesekali ke rumah ibu di kampung Ulu Kusial pula, ibu selalu mengajak saya ke bendang untuk menangkap belalang. Mungkin ramai yang merasa anih bila saya menceritakan belalang merupakan sejenis makanan yang sangat enak samada di goreng ataupun di masak lemak bersama dengan kulat sisir.
     Itulah rutin sebagai anak kampung. Nenek mula mencadangkan supaya saya mendalami lagi pembacaan Quran lantaran saya berguru dengan seorang guru  yang bernama Kakwan Pesah di kampung Ulu Kusial. Namun  berguru tajuid itu hanya dibua pada waktu malam sahaja. Selebihnya saya merasa terlalu kosong.
     Aktiviti malam yang lain saya ialah menghabiskan waktu di masjid, berjemaah dan mendengar guru-guru serta mubaligh mengajar kitab di masjid dan hadir ke tempat pemuda kampung belajar silat serta boxing Siam.  Guru silat yang handal pada masa ini ialah Awang Kurap di Ulu Kusial.
     Apabila sesekali berkunjung ke rumah ibu di Ulu Kusial pula saya tidak lupa untuk bersama pergi menonton television yang ada di beberapa buah kedai kopi. Masa ini kampung kami masih belum ada elektrik. Jadi tidak ramai orang kampung yang memilik television dan television yang ada hanya di kedai kopi yang menggunakan  kuasa elektrik daripada generator.
    Kami hafal siaran tv , yang pada masa itu masih lagi tv hitam putih. Malam Sabtu untuk cerita Melayu manakala malam isnin ialah Drama Melayu. Itulah dua malam dalam seminggu TV Malaysia menayangkan cerita menarik selain cerita-cerita yang kurang digemari oleh penduduk kampung seperti Land Of The Giant, Twilight Zon dan juga Mission Impossible
     Akhirnya  beberapa orang bekas cikgu saya bercadang untuk membuka sebuah kelas bimbingan di Tanah Merah bagi membimbing para pelajar yang gagal SRP dan juga SPM.  Ini dicadangkan oleh Cikgu Hashim (Allahyarham Dato Hashim Shafin  bekas MP Tanah Merah), Cikgu Sulaiman,  dan dua tiga nama lagi yang kesemuanya merupakan guru-guru Sekolah Menengah  Dato Mahmud Paduka Raja Tanah Merah.
    Kami menghidupkan sebuah kelas bimbingan di sebuah bangunan milik Persatuan Kakitangan Kerajaan (PKK) Tanah Merah. Disebabkan Cikgu Hashim (Dato Hashim Shafin bekas MP Tanah Merah) dan Cikgu Sulaiman mengajar di Sekolah Dato Mahmud maka saya dan seorang kawan Shafii Hamid diberi kepercayaan mengendalikan kelas berkenaan.
     Kelas kami mendapat sambutan ramai daripada pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Bagaimanapun ramai juga kalangan pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Dato Mahmud yang mendaftar untuk tusyen selain daripada pelajar darjah 5 bagi persiapan UPSR.
   Saya sendiri mengajar mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Malaysia manakala Shafii mengajar Matematik dan Sains.
     Itulah sahaja sumber pendapatan kami semasa menunggu keputusan peperiksaan. Shafii pada masa itu menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan daripada Institiut Kenali Kubang Kerian.
     aDA suatu perkara menarik semasa saya mengajar di sini. Di hadapan kami dalam jarak lebih kuran 200 meter terdapat suatu projek pembinaan di mana pada masa itu kerja-kerja memasang tangki air setinggi hampir 50 meter sedang dijalankan. Ketika saya sedang mengajar, sesekali pandangan saya menghala ke luar tingkap melihat suasana sekitar dan saya asyik memerhatikan seorang pekerja yang sedang mengecat tangki berkenaan. Bagaimanapun tiba-tiba buruh berkenaan melayah jatuh ke tanah. Memang!! saya merasa aneh. namun tidak terlintas di hati saya mengenai sebarang perkara buruk berlaku di situ.
     Sebaik pekerja itu hilang dari pandangan, saya terus dengan pengajaran saya dan menganggap tidak ada apa-apa berlaku dari pandangan mata saya. Tidak juga saya memberitahu pelajar saya. Dan tidak pula saya memberitahu Shafii yang sedang asyik mengajar di kelas sebelah.
     Hingga keesokannya apabila sayang datang semula ke sekolah barulah saya mendapat cerita daripada para pelajar bahawa ada kes kematian semalam iaitu seorang Cina terjatuh daripada tangki berkenaan. Barulah saya sedar bahawa saya merupakan orang pertama menyaksikan kejadian itu, dan seolah-olah saya sedang bermimpi atau antara percaya dengan tidak bahawa kejadian itu berlaku di depan mata saya.
    Itulah antara rentetan pengalaman semasa kami menganggur dan menjalani waktu penuh pancaroba semasa menunggu keputusan peperiksaan. 
     Dalam pada itu pihak kerajaan mula menawarkan pelbagai jawatan kosong kerajaan di bawah OPERASI ISI PENUH.  Kami juga tidak melepaskan peluang untuk mengisi jawatan-jawatan kosong tanpa mengira apa jua jawatan. Taget kami, ialah kami perlu mempunyai pekerja tetap untuk masa depan.mASA ini kakak, Wan Faridah dudahpun berkahwin dengan pilihannya iaitu abang Abas, pemuda sama sekampung. Abang Abas merupakan seorang lepasan sekolah Arab Madrasah Al Ihsan Tanah Merah yang juga di panggil ustaz Abas di kalangan kawan-kawan rapatnya.
     Kakak dan abang Abas tidak lagi tinggal bersama nenek di Bukit Telaga kerana abang Abas bergiat dalam bidang perniagaan, iaitu berbiaga kain di Tanah Merah. Mereka berdua tinggal menyewa di Seberang Pechong Tanah Merah. Jadi semasa saya mengajar di kelas bimbingan, saya menumpang di rumah kakak saya manakala Shafii berulang alik dari rumahnya di kampung Batu Hitam.
     Apabila kakak dan suaminya berpindah dan tinggal di pondok Tok Guru Haji Nik Daud berhampiran sekolah Al Ihsan, saya tetap tinggal di rumah itu dan Shafii berpindah dan kami tinggal berdua.
     Bagaimanapun kami tetap mengisi pelbagai jawatan kosong untuk mendapatkan kerja terutama menerusi tawaran OPERASI ISI PENUH kerajaan.....

No comments: