....

.....

23 September 2010

05 Ranap

    
 SEPERTI YANG SAYA KATAKAN SEBELUM INI, seperti biasa, padang sekolah itulah tempat saya dan kawan-kawan bermain-main pada waktu petang selepas waktu Asar hingga menjelang Magrib. Biasanya kami bermain layang-layang atau bermain Galang Choh yang merupakan permainan tradisi di tempat kami. Dan padang SKUK seperti pusat pertemuan budak-budak waktu petang.
      Arah ke hadapan dari halaman sekolah itu ialah padang bola yang ditepinya terdapat sebuah rumah terbuka berdinding buluh yang dijadikan astaka untuk padang bola. Ibu pernah memberitahu bahawa di hadapan astaka itulah tempat berlangsungnya upacara perbarisan menyambut kemerdekaan Tanah Melayu bagi penduduk kampung itu. Kini bangunan astaka itu masih berdiri, tetapi sepi kecuali sesekali digunakan sebagai tempat persembahan dikir barat oleh penduduk kampung.
     Seperti kebiasaannya petang itu saya bermain-main dengan kawan-kawan sejeni wau yang dibuat daripada kertas buku tulis. Kertas itu dilipat berbentuk takung, kemudian diikat dengan benang di kiri kanan, kemudian disambung dengan ikatan benang panjang. Jadilah kertas lipatan itu seperti wau kertas dan akan melayang bila melawan angin.
     Kami sebenarnya baru sahaja menggunakan buku tulis ketika belajar. Ketika saya memasuki sekolah ini di darjah satu, guru kelas saya, cikgu NIK KHATIB memperkenalkan papan batu dan pensel batu sebagai buku. Namun penggunaan papan batu sebagai buku tulis hanya digunakan sepanjang enam bulan pertama persekolahan sahaja. Kemudiannya, pada  6 bulan kedua di darjah satu, kami mula menggunakan buku tulis.
     Kawan-kawan sekelas saya yang sama-sama memasuki darjah satu di SKUK yang saya ingat ialah Alias Daud (kini berkhidmat dengan Lembaga Pertubuhan Peladang), Zulkily Daud (kini pengurus Felda di negeri Sembilan)... hanya itu sekadar yang disebut nama... maaf kepada rakan-rakan yang lain.
Saya sempat belajar di sekolah ini sehingga pertengahan darjah 3.
     Guru kelas saya semasa darjah dua ialah cikgu Sidek. Orang kampung panggil dengan gelaran Cikgu Sidek Paklong. Seronok juga belajar dengan Cikgu Sidek. Saya ingat lagi Cikgu Sidek mengarahkan kami sekelas membawa sedikit siput ke sekolah untuk tujuan pembelajaran. Tetapi ada seorang kawan bernama Che Abdul Aziz (anak penghulu Che Deraman) diarah oleh Chegu Sidek supaya membawa kelapa.
     Memang benar, kami belajar mengenai siput berkenaan termasuk fungsi kulit siput, isi siput. Bagaimanapun siput-siput selebihnya bersama kelapa dibawa pulang oleh Cikgu Sidek untuk di gulai..... lucu dan bijak. Seronok dengan Cikgu Sidek.
     Antara kisah yang saya ingat lagi belajar bersama Cikgu Sidek, apabila seorang kawan sekelas kena hukuman terpaksa berdiri di atas bangku.... hingga kawan perempuan yang bernama R itu terkencing di atas bangku.
      Antara pelajar darjah enam pada masa ini dengan guru kelasnya bernama Cikgu Soh ialah Che Soh Tok Husin, Che Selema Abang Awang, Che Gayah Che Kob, Sauhal Derasit ... hanya itu beberapa nama yang saya mampu sebutkan. Lepasan darja enam sekolah ini akan menyambung pelajaran ke kelas Aneka Jurusan (yang kemudiannya dipanggil sekolah menengah) di Sekolah Menengah Rendah Gual Ipoh. yang berjarak kira-kira 5 kilometer dari kampung Ulu Kusial.
     Saya tidak menduga sama sekali dengan kejadian yang akan berlaku pada petang itu. ianya berlaku dalam sekelip mata. Ketika kami sedang seronok bermain layang-layang di halaman sekolah dalam angin yang berberhembus segar, tiba-tiba langit berubah gelap dan angin lembut bertukar kuat kemudian bertukar menjadi ribut. Kami yang pada mulanya berniat untuk berlindung dalam bangunan sekolah berlari ke padang ababila melihat atap sekolah mula dikoyak ribut.
     Ribut semakin kuat. Dari arah padang bola kami lihat sekolah tiba-tiba ranap. MALANG, sekolah yang kami sayangi itu kemudiannya menyembah bumi. Runtuh!!!

No comments: