....

.....

23 September 2010

06 PINDAH

PEKAN GUAL IPOH, TANAH MERAH , KELANTAN

     RANAPNYA Sekolah Kebangsaan Ulu Kusial (SKUK) akibat dilanda ribut menyebabkan kelas tempat kami belajar terpaksa dipindahkan. Malangnya kami bukan berpindah ke bangunan baru yang lebih gagah tetapi para pelajar beralih belajar di bawah-bawah pokok rimbun yang ada di kawasan sekitar. Hanya dua kelas yang belajar di rumah kosong iaitu pelajar darjah 5 dan enam.
     Antara rumah kosong yang digunakan sebagai tempat belajar ialah di rumah Pokhim Tok Colek (yang sekarang ini rumah arwah Tok Che Kob) dan satu lagi ialah di rumah kosong berhampiran rumah Che Roni. Selebihnya, kelas-kelas yang dijadikan tempat belajar ialah di bawah-bawah pokok berhampiran padang bola. Amat menyedihkan. Bagaimanapun kami menerima seadanya apa yang berlaku.
     Bagi pelajar yang ingin menimba ilmu, tempat belajar tidak penting. Apa yang paling kami hargai ialah semangat yang diberikan oleh guru-guru. Guru kami tidak pernah mengeluh biarpun terpaksa mengajar di bawah pokok. Terima Kasih Cikgu....
     Kalau dikirakan selesa, kami belajar dalam keadaan yang paling tidak selesa. Maklumlah terdedah dengan suasana yang tidak selesa hingga menggangu pembelajaran. Ada antara kami yang gatal-gatal bila pulang dari sekolah kerana dihinggap pepijat. Nyamuk memang kawan-kawan kami. Malah banyak nyamuk tirok yang membawa kepada penyakit malaria. Masa ini saya berada di darjah empat.
     Keadaan tempat belajar yang tidak selesa ini turut menimbulkan kebimbangan nenek saya (Siti Rani) di kampung Bukit Telaga. Memang, nenek saya antara yang amat mementingkan pelajaran. Di zaman ramai anak-anak kampung tidak bersekolah, nenek sudah berjaya menghantar ayah dan bapa saudara saya belajar sekolah pondok. Kemudian saya tidak tahu di mana ayah saya bersekolah sehingga dia juga pandai Baha Inggeris.      Nenek saya bimbang sekiranya saya tercicir dari pelajaran.
     Akhirnya pada suatu petang nenek saya datang berjumpa ibu saya dan menyatakan hasratnya untuk memindahkan saya ke Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh. Saya terkejut dengan perkembangan itu kerana saya juga akan berpindah dan tinggal bersama nenek dan datuk saya di Bukit Telaga.
. Bagaimanapun, apalah daya saya. Saya tidak mampu untuk membantah. Walaupun dalam keadaan berat, ibu terpaksa melepaskan saya. Itulah.... saya terpaksa meninggalkan ibu, terpaksa meninggalkan adik saya Mohd Kamizi... dan meninggalkan kampung Ulu Kusial.
     Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh
     Saya mula belajar di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh dengan memasuki darjah 4A. Masa itu darjah empat ada dua kelas dan guru saya ialah cikgu Seman manakala guru darjah 4B ialah cikgu Hassan. (Cikgu Hassan ini kemudiannya berkahwin dengan Mak Sepupu saya Ustazah Aisyah yang mengajar di Sekolah Putera Wakaf Mek Zainab, kini menetap di Kubang Kerian Kota Bharu).
     Darjah 4A dan 4B masa itu diasingkan daripada bangunan utama Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh disebabkan ruang kelas yang tidak mencukupi. Kawan-kawan baru saya di sini antara yang saya masih ingat ialah Hashim Harun (kini bertugas di PPD Negeri Sembilan), Eh Chang Cha Sut ( kini guru di Pahang), Abdul Rahman Ismail (kini berkhidmat dengan Pertubuhan Peladang)... dan beberapa nama yang lain.
     Dari kampung Bukit Telaga, saya hanya berjalan kaki sejauh 3 kilometer untuk ke sekolah. Memang tidak banyak orang kampung yang memiliki motosikal masa ini. Selain kawan-kawan lain sama sekampung, saya berulang alik berjalan kaki bersama adik perempuan saya yang juga tinggal bersama nenek iaitu Wan Halimah Wan Min (kini arwah).
     Adik saya yang mula memasuki darjah satu waktu itu terpaksa berpindah tinggal bersama nenek kerana jarak antara rumah ayah yang sudahpun menetap di kampung Air Asahan Batu Gajah amat jauh dengan sekolah.
     Memang meletihkan.
     Pada masa ini juga, bapa saudara saya sWan Daud Wan Hussin, seorang lepasan sekolah pondok turut membuka sebuah kelas secara sukarela di masjid Bukit Telaga bagi mengajar anak-anak penduduk kampung sekitar Bukit Telaga belajar bahasa jawi, bahasa Arab serta beberapa mata pelajaran lain. Nenek saya tidak ketinggalan memaksa saya untuk turut hadir ke kelas berkenaan.
     Menerusi kelas yang anjurkan oleh bapa saudara saya itulah saya dapat belajar menulis dan membaca jawi selain daripada belajar beberapa mata pelajaran Nahu, Qiraah, Khat, Qawaid, Usul, Sejarah, Fiqah dan juga Tajuid. Saya masih ingat, ramai anak-anak kampung Gual Derahim, Cermin, Banggol dan Bukit Telaga yang turut belajar di kelas ini walaupun mereka tidak pernah hadir belajar di Sekolah Kebangsaan.
     Maknanya saya sendiri terpaksa menghadi dua sekolah iaitu pada sebelah pagi bersekolah di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh manakala di Sebelah petang pula terpaksa hadir di kelas sekolah agama yang diadakan di masjid.
       Bagaimanapun, kelas agama yang dianjurkan oleh bapa saudara saya ini tidak lama di masjid Bukit Telaga, sambutan yang amat menggalakkan diberi oleh penduduk kampung menyebabkan kelas berkenaan terpaksa dipindahkan ke bangunan baru. Bangunan baru sekolah agama berkenaan di bina oleh penduduk kampung secara bergotong royong dan ditempatkan di kampung Gual Derahim, dan dinamakan MADRASUL RAHIMIAH. Antara bekas pelajar Madrasatul Rahimiah masa kini ialah Imam Mahasan, imam masjid Bukit Telaga 2010 dan Ustazah Safiah Che Moh yang mengajar di Padang Siam Tanah Merah 2010.

  
    

No comments: