....

.....

11 October 2010

13 LEPAR UTARA DUA

Photobucket

Perjalanan daripada peKan Sri Jaya untuk ke Felda Lepar Utara 2 pada masa itu sangat sukar. Terpaksa melalui jalan tanah merah berbatu kasar lebih 20 kilometer melalui beberapa buah estet kelapa sawit termasuklah estet Asia Oil Palm dan juga hutan tebal. Dengan hanya menggalas sebuah beg pakaian, saya menumpang lori seorang kontraktor Cina yang kebetulan ingin masuk ke Felda Lepar Utara 2.
     Apa yang bermain di fikiran saya ialah, saya bakal berdepan dengan tugas baru yang amat mencabar, iaitu antara mereka yang turut bertanggungjawab dalam membangunkan hutan belantara dan menukarnya menjadi kawasan lading yang subur untuk anak-anak bangsa.
     Kawan saya yang sama-sama melapur diri untuk bertugas di sini ialah Mat Yasin Mat Nor ( kini pengurus di Felda Sungai Panching, Pahang).  Dan bagi kami, semuanya adalah perkara baru. Tempat baru, suasana baru, kerja baru…. Serta harapan baru.
     Kami melapur diri dengan pengurus , yang bernama Low Chi Bock. Saya lihat En Low seorang yang amat dedikasi dalam tugas, komited, tegas, rajin dan amat peramah. Beliau keturunan Baba Melaka tetapi telah menetap di pekan Sri Jaya.
    Peringkat awal tugas kami (saya dan Mat Yasin) ialah untuk mengikuti dan belajar melalui kakitangan senior iaitu Chia Hock Boon dan juga Tan Lit Seng. Pelbagai jenis kerja pembangunan tanah yang kami terpaksa lakukan termasuklah mempastikan segala kerja yang dijalankan di ladang dilaksanakan mengikut peraturan iaitu kerja-kerja penjagaan ladang, menuai sawit pokok muda, musuh penyakit dan kawin bunga (assisted pollination).
     Apa yang menarik perhatian saya di sini ialah terlalu ramai buruh-buruh kalangan warga Indonesia yang bekerja di ladang. Mereka ini sanggup tinggal di kongsi-kongsi buruh dengan kehidupan serba kekurangan dan makan ala kadar. Mereka juga terdiri daripada pelbagai suku iaitu Flores, Sumbawa, Jawa, Batak dan juga suku Boyan.
     Mereka rajin bekerja. Dan selain darai kumpulan warga Indonesia terdapat juga sebilangan kecil yang lain sebagai buruh ialah pendatang dari Selatan Thai serta kalangan Orang Asli tempatan.
     Pada masa ini Felda gugusan Lepar terdiri daripada Felda Lepar Utara 1, Felda Lepar Utara 2, Felda Lepar Utara 4 dan Lepar Utara 5 yang ditanami dengan tanaman sawit di suatu gugusan yang dinamakan Kompleks B manakala di kompleks A pula terdiri daripada Felda Lepar Utara 3, Felda Lepar Utara 6 dan 7. Felda Lepar Utara 3, 6 dan 7 ditanami dengan tanaman koko.
     Satu lagi gugusan Felda Lepar Utara dinamakan kompleks C terdiri daripada Felda Lepar Utara 8 dan 9 manakala Felda Lepar Utara 11 serta 12 masih lagi diperingkat ukur tanah hutan.
     Bagi mereka yang berada di Felda Lepar Utara 3,6,7,8 dan 9, jalan keluar ke Bandar Jerantut adalah melalui Kota Gelanggi serta melalui jalan tanah merah yang digunakan oleh Syarikat Jengka Sendirian Berhad (SJSB). Bagi kami di kompleks B, kami lebih hamper dengan pecan Sri Jaya dan segala urusan bank adalah di Pekan Maran.
     Saya tidak lama membantu kerja-kerja bersama dengan Chia Hock Boon serta Tan Lit Seng, kerana kemudiannya saya diberi tugas khusus membangunkan kawan Peringkat Tiga (masa itu) seluas 855 hektar di bawak kontraktor Poh Soon.
     Hari minggu di sini amat membosankan. Sesekali kami keluar ke pekan Sri Jaya atau terus ke Felda Kampung New Zealand. Segala urusan adalah di pekan Maran, namun untuk kami ke klinik apabila sakit demam kami terpaksa ke Temerloh atau ke Kuantan. Selebihnya kami akan habiskan hari minggu dengan mandi di sungai atau menangkap ikan samada menjala atau memancing. Malah ada kawan-kawan yang sesekali membawa ubat tuba dan menuba ikan di sungai Lepar.
     Pelbagai perkara menarik yang masih segar diingatan saya semasa membangunkan kawasan ini. Suatu ketika kontraktor menembak seekor harimau belang. Dan apabila dilapurkan kepada Pengurus (Encik Low Chi Bock), beliau bergegas ke ladang bersama senapang patah untuk melihat harimau belang yang ditembak. Lucu!! En Low yang tiba di tempat harimau yang terkujur kaku memanjat semula ke atas pokok dan menembak lagi harimau mati bagi mempastikan harimau itu benar-benar mati.
     Satu kisah lain yang berlaku di sekitar Felda Utara 8 ialah berlakunya pergaduhan besar antara puak warga Indonesia dengan puak warga Thailand yang menyababkan mereka bergaduh mengunakan senjata tajam.
    Dan antara peristiwa yang sukar saya lupakan ialah di mana pada suatu malam seekor gajah mengamuk dan meranapkan sebuah kongsi warga Indonesia dan memijak mati seorang warga Indonesia.
    Mengikut cerita yang saya dengar daripada bibir kawan rapat warga Indonesia berkenaan ialah, mangsa pada sebelah siangnya menakik tapak gajah yang dijumpainya sambil mandabik dada mengatakan beliau tidak takut gajah. Itu sahaja. Dan itulah, pada sebelah malamnya, memang benar, gajah hutan keluar dan mengamuk di kongsi sehingga buruh warga Indonesia berkenaan lari memanjat alang kongsi. Bagaimanapun gajah terus mengamuk, menggunakan belalainya menangkap buruh berkenaan dan menghempasnya ke tanah sebelum memijak mati.
     Seorang Pengurus Kumpulan yang pada masa ini bertugas di Pejabat Felda Kawasan Pahang Tengah (pada masa itu) En Ibrahim Mydin selalu mengulang-ulang kisah ini apabila berbual menganai pembangunan tanah Felda di Lepar Utara.
     Bagaimanapun saya tidak lama di Felda Lepar Utara Dua, saya mohon untuk bertukar ke Felda Sungai Chiku 2 , Gua Musang Kelantan secara mutual ransfer dengan seorang kawan yang bernama Abdul Ghani Abdullah. (Abdul Ghani kemudiannya melatakkan jawatan dan berkhidmat dengan Syarikat Telekom Malaysia ™.
     Saya meninggalkan Lepar Utara dengan penuh kenangan. Semasa saya meninggalkan tanah rancangan ini, semua rancangan Felda Lepar Utara masih belum dimasukkan peneroka. Kerja-kerja menolak tapak perumahan peneroka serta tapak kilang sawit Felda Lepar baru sahaja dibangunkan. Semua kakitangan masih lagi menduduki rumah-rumah sementara yang ditempatkan berhampiran Tapak Semaian Sawit Felda Lepar Utara Dua.
     Antara kawan-kawan yang pernah bekerja di sini ... Kamarudin Mohamad (kini pengurus Felda Selasih Terengganu), Azizan Baharin (pengurus Chiku 6... bersara), Mohd Razi Chin (tak dapat di kesan), Zahari (tak dapat di kesan), ... Ahmad Sazali Abdul Hamid (kini pengurus di Felda Chiku 2).
  Bagaimanapun saya bangga berana dapat membantu membangunkan tanah di situ untuk generasi hari ini.
Photobucket

No comments: