....

.....

11 October 2010

07 NGATIB PADANG


MUNGKIN  apa yang saya ceritakan ini akan menjadi bahan ketawa kepada pembaca laman ini. Ianya memang cerita tahyul dan khurafat, tetapi ianya benar-benar berlaku dan dilakukan oleh penduduk kampung saya semasa saya masih kanak-kanak.
     Cerita yang saya ingin paparkan ini ialah mengenai zikir sambil berjalan yang diamalkan oleh orang kampung sekitar Bukit Telaga, kampung Cermin, Gual  Derahim, Gelugor, Ulu Kusial dan Bukit Cermin semasa saya tinggal bersama nenek di kampung Bukit Telaga.
     Zikir ini dibuat secara tahunan iaitu pada setiap kali selepas musim menuai oleh penduduk kampung  dengan tujuan bagi menghalau hantu, atau bertujuan menjamu hantu supaya semua hantu-hantu yang ada di kampung itu tidak mengacau penduduk kampung.
     Memang khurafat!! Apabila tiba hari untuk mendakan zikir padang (ngatib padang) para penduduk kawasan itu akan bertanak pulut pelbagai  warna tujuan untuk di arak ke suatu tempat yang sudahpun ditentukan.
     Upacara ini akan dimulakan di Bukit Pohon Ketereh, iaitu kawasan kecil antara kampung Bukit Telaga dengan kampung Banggol Pak Nerali. Seorang bomoh terkenal  yang pada masa itu dikenali dengan nama Tok Tayib akan melakukan jampi serapah  dan kemudiannya meletakkan sekepal pulut kuning bersama-sama dengan kelapa muda yang telah di paras kepalanya dan sebatang rokok yang digulung menggunakan daun pisang kering pada sebatang pokok depu besar kawasan itu.
     Tok Tayib merupakan seorang bomoh terkenal di kampung Ulu Kusial. Beliau juga merupakan MINDOK dalam permainan PUTERI. Bila ada upacara main Puteri, Tok Tayib akan menggesek rebabnya dengan bunyi yang amat mendayu-dayu sekali.
     Sebaik Tok Tayib siap melakukan upacara itu, upacara berarak beramai-ramai dengan berjalan kaki akan bermula. Sambil berjalan setiap orang akan berzikir LAILAHAILLALLAH….. LAILAHAILLALLAH….. LAILAHAILLALLAH……… berjalan melintasi kampung Bukit Telaga, Bukit Che Bah, Ulu Kusial hinggalah ke kampung Bukit Cermin. Kaum wanita akan menjunjung pulut semangat pelbagai warna persis berarak mengiringi pembesar Negara atau seolah-olah mengiringi VVIP.  Suara zikir bergema melintasi kampung. Kami, kanak-kanak turut bersama dalam barisan orang dewasa dan turut berzikir.
     Perarakan itu akan tamat di sebuah padang yang ada di kampung Bukit Cermin Ulu Kusial.  Di kawasan lapang itu sudah siap dibentangkan tikar mengkuang untuk penduduk kampung yang berarak tadi bersembahyang sunat hajat.
     Apa yang saya saksikan sendiri pada masa itu, arwah Datuk saya Wan Husin antara orang yang akan mengimamkan solat hajat selewat-lewatnya ketika matahari segalah di ufuk barat. Dan antara yang lain merupakan orang kuat serta lebai-lebai lain yang saya masih ingat ialah arwah Toklat (Bulat), arwah Pak Muda, arwah Tok Jidan dan juga Pakda Husin bukit Che bah.
     Melalui solat sunat hajat itu penduduk kampung akan bermohon doa untuk keselamatan kampung, jauh dari mara bahaya dan berdoa agar tanaman menjadi.
     Sebaik majlis sembahyang sunak hajat ini, tibalah masa yang paling digemari oleh kanak-kanak, termasuk saya, iaitu majlis memakan pulut serta lauk pauk yang di bawa oleh penduduk kampung. Lauk paling popular pada masa itu ialah ayam panggang.
     Begitulah berakhirnya kisah Ngatib Padang yang pernah dijalankan di kampung  saya Bukit Telaga.
     Bagaimanapun tidak ada orang yang berani mengambil barang-barang yang ditinggalkan oleh Tok Tayib berupa pulut, air kelapa, sebiji telur dan rokok daun pisang pada pangkal pokok depu besar di Bukit Pohon Ketereh. Kawasan itu juga disifatkan ‘keras’ oleh penduduk kampung dan dikaitkan sebagai kawasan berhantu. Bagaimanapun kawasan itu telah dimajukan buat masa ini dan kawan itu telah didirikan rumah serta menempatkan sebuah sawmill kayu getah.
    *** Ada juga cerita menarik di sebalik Ngatib Padang ni...
    "Suatu ketika sebaik orang kampung meletakkan rokok daun Pisang, Pulut, telur dan Air Kelapa Muda di pangkal pokok depu  di Bukit Pohon Ketereh, Bukit Telaga... Masa ini ada seorang budak nakal bernama Seman (Seman Tok Pak Kot).
     Memang nakal. Kini Seman sudah pindah dan meninggalkan kampung itu. Saya tidak pasti di mana Seman berada masa ini, bagaimanapun terdengar juga daripada sesetengah orang mengatakan Seman kini berada di salah sebuah rancangan Felda di Pahang.
     Seman datang bersaorangan ke kawasan itu dan mengambil  pulut, telor, air kelapa muda yang diletakkan oleg Tok Tayib. Sebaik Seman habiskan makanan tersebut, Seman pulang dan singgah di rumah sepupu saya yang kami panggil Mak Tengah Limah.
     Seketika Mak Tengah Limah meracau-racau, tidak sedarkan diri dan dirasuk hantu... Mak Tengah Limah bertempik, melolong!! Dan menjerit  supaya jangan ada sesiapa yang mengkhianati barang-barang miliknya......"
     Inilah secebis kisah benar yang saya sendiri pernah ikuti... semasa zaman kanak-kanak.

1 comment:

Misssurvivor said...

interesting.. thax for the sharing... ;)