....

.....

31 October 2010

WUJUDKAH MARYAM KEDUA?

GAMBAR HIASAN DARIPADA IMEJ....

     Wujudkah lagi Maryam kedua di era mutakhir ini? Dalam perjalanan saya, saya tercari-cari di mana Maryam kedua. Semua kita mengenai Maryam pertama, iaitu bonda kepada Nabi Allah Isa AS yang mendapat ujian Tuhan untuk melahirkan seorang bayi tanpa ayah. Betapa deritanya Maryam , seorang ahli ibadat dalam menerima hakikat bahawa beliau mengandung tanpa suami.
     Namun, itulah realitinya. Maryam mengandung dan melahirkan Nabi Allah Isa yang kemudiannya boleh bercakap ketika masih bayi.
Satu dongeng lain yang kita pernah temui ialah filem Melayu mengenai cerita Buluh Betong. Di mana seorang bayi dilahirkan oleh ruas buluh yang kemudiannya menjadi raja serta memerintah secara zalim. Hingga akhirnya raja Buluh Betong mati akibat Buluh Betong.
     Ini merupakan dua cerita yang berbeza. Seorang dilahirkan untuk dijadikan nabi serta Rasul manakala seorang lagi dilahirkan untuk menjadi seorang yang zalim. Saya terpanggil untuk menulis tentang ini memandangkan ramai remaja kita yang nampaknya di era mutakhir ini seolah-olah hilang pertimbangan. Samada disebabkan oleh faktur keliling atau disebabkan oleh didikan yang kurang sempurna ibu bapa.
     Maryam  ibu kepada Nabi Allah Isa hanya itulah satu. Namun  di era mutakhir ini pelbagai pendedahan yang dibuat oleh media yang memaparkan ramai remaja kita yang melahirkan bayi tanpa suami sehinggalah mempunyai anak tanpa ayah. Memang tanpa ayah, namun ada manusia yang bernama lelaki di sebalik kelahiran seorang bayi.
     Cuba kita bayangkan bagaimana anak-anak ini akan berdepan dengan masyarakat apabila baligh kelak sedangkan tidak tercatat di mana-mana bahawa beliau merupakan anak yang mempunyai bapa. Bagaimana  anak ini akan berdepan dengan rakan sebaya yang mula menyedari bahawa beliau dlahirkan tanpa ayah.
     Di suatu  kisah lain, kita juga berdepan dengan situasi anak-anak yang dilahirkan oleh ayah dan ibu namun tidak terbela sepenuhnya sehingga anak-anak tidak mampu untuk bersekolah, gagal separuh jalan, terpaksa bekerja sendiri, malah ramai yang terbabit dengan ancaman semasa termasuk terjebak dengan masalah penyalahgunaan dadah serta pil kuda.
     Namun, disuatu sudut lain juga kita bertemu dengan anak-anak yang cukup didikan, berpelajaran tetapi tidak juga menghargai orang tua yang mungkin disebabkan oleh faktur pengetahuan agama yang kurang, cetek dalam hal ehwal kemasyarakatan atau dipengaruhi  massa.
Beberapa kisah di atas melupakan selingkar kisah untuk direnung bahawa betapa bersyukurnya anak-anak yang dilahirkan secara sah, mendapat pendidikan yang sempurna sehingga Berjaya.
     Lantaran, untuk kita menjadi seorang anggota masyarakat yang berguna,  remaja-remaja kita pergunakanlah akal dengan baik, akal yang sihat dan segar. Kerajaan banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk menyempurnakan remaja agar tidak terjebak dengan fikiran yang sakit. Pandulah fikiran dengan sempurna, kerana fikiran yang dipandu oleh orang lain menandakan bahawa fikiran kita sedang mengalami kesakitan yang parah.
     Kepada remaja yang masih di awal perjalanan, berbaktilah kepada ibu kerana ibulah anda dilahirkan ke dunia. Saya sengaja tidak menyebut nama ayah di sini kerana merujuk kepada kisah 1 iaitu kelahiran Nabi Isa AS menerusi Maryam  tanpa suami, merujuk kepada kisah Buluh Betong yang hanya dilahirkan oleh sebatang  Buluh Betong dan cerita ramai lagi yang dilahirkan tanpa ayah.
     Berbaktilah kepada ibu, kerana ibulah yang mengandungkan, ibulah juga yang bekerja mencari nafkah walaupun untuk sesuap nasi Syurga juga di bawah tapak kaki ibu.
     Lantaran, kita merasa sedih bila terdengar pelbagai berita media yang melapurkan ada anak yang menumbuk ibu, ada juga yang sanggup membunuh ibu, ada anak-anak yang  mensia-siakan ibu, membiarkan ibu menderita malah ada sesetengahnya  yang kurang sanggup mengaku ibu sebagai ibu.
     Dalam perjalanan saya, saya sebenarnya pernah bertemu dengan seseorang anak gadis yang mengaku ibunya sebagai nenek, mungkin ibunya kelihatan tua menyebabkan beliau tidak sanggup mengakui ibunya sebagai ibu. Perkara ini memang berlaku di hadapan mata saya. Bertahun yang lalu. Ini kisah benar yang terpahat dalam ingatan saya sampai ke hari ini.
     Saya hairan, bagaimana seorang anak gadis yang sanggup mengaku ibunya sebagai nenek. Nauzubillah…….. Apa yang perlu dimalukan. Dia ibu kita. Ibu kandung kita. Walaupun pada masa itu ibu tidak mendengar apa pun perakuan yang kita buat, percayalah….. Tuhan Maha Mengetahui.
     Hanya Tuhan yang Maha Pengampun kepada manusia seumpama ini. Ibulah yang melahirkan kita. Ingatlah bahawa kita bukan dilahirkan oleh Maryam , kita juga bukan Anak Buluh Betong dan bersyukurlah kerana kita masih ada nama ayah di hujung nama kita ….. WAN HANAFI WAN MIN.... tanpa WAN MIN.... siapalah saya. ?? Saya bukan anak Maryam.

No comments: