....

.....

28 September 2010

04 SEKOLAH KEBANGSAAN ULU KUSIAL


     Zaman persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ulu Kusial (SKUK) walaupun dalam keadaan serba kekurangan ternyata  amat menyeronokkan. Sekolah kami itu dibina sepenuhnya oleh penduduk kampung serara gotong royong menggunakan kayu bulat sebagai tiang, dinding pelupun buluh dan beratapkan daun sagu (atap rumbia) . Kerusi meja pula dibina menggunaka kayu pokok pulai.
     Itulah jasa dan pengorbanan generasi ayah kami yang ingin melihat anak-anaknya berilmu. Lantai sekolah kami tidak di simen. Kami terpaksa berlantaikan tanah merah semasa belajar. Keadaan itu ternyata sudah baik kerana ada antara kami datang ke sekolah tanpa kasut.  Hakikatnya tanah merah lantai sekolah kami lebih bersih daripada selut cair berlintah di bendang padi orang tua kami. Lantai tanah merah itu lebih garing daripada rumput basah penuh pacat tempat ibu kami menoreh mencari rezeki. Dan itulah tempat pertama kami menimba ilmu.
     Selain anak-anak tempatan daripada kampung Ulu Kusial, murid-murid yang belajar di sekolah ini datangnya dari kampung berjiran iaitu Gual Derahim, Kampung Cermin, kampung Kusial serta Bukit Patak, Kampung Berdang dan juga Tabeh. Tegasnya semua pelajar yang belajar di SKUK masa itu datang ke sekolah berjalan kaki. Ibu bapa kami masa ini  tidak ada kenderaan. Mereka yang menggunakan basikal  terlalu jarang. Hanya golongan berada sahajalah yang mampu memiliki basikal.
     Segar diingatan saya, semasa saya di darjah satu, guru kelas saya ialah cikgu Nik Khatib berasal daripada Kota Bharu manakala guru kelas dua ialah cikgu Sidek (juga dikenali sebagai Sidek Paklong) berasal daripada Air Lanas, darjah tiga cikgu Mustapha dan darjah lima yang dicampur dengan darjah enam cikgu Yusof (cikgu Soh). Saya lupa guru kelas darjah empat. Maafkan saya.
     Memang daif!!. Satu perkara yang segar diingatan saya juga ialah, betapa sukarnya untuk penduduk kampung mendapatkan duit pada masa itu. Dengan kata lain, semua barang yang dijual adalah murah. Harga nasi yang dijual oleh Tok Che Nab (isteri penghulu Mat Saman) hanya berharga 5 sen. Maknanya kalau kami membawa bekalan wang saku sebanyak 5 sen kami sudahpun dapat sepinggan nasi. Cukuplah sekadar alas perut.
     Bagaimanapun ramai yang membawa bekalan makanan dari rumah. Ramai juga kawan-kawan yang membawa bekalan buah-buahan termasuklah buah bacang. Terbayang lagi di mata saya pakaian kawan-kawan sesekolah masa itu comot sekali. Ada yang bertompok-tompok hitam terpalit getah buah bacang dan tidak kurang juga yang baju seluar kotor terkena isi durian.
     Bagi saya, soal membawa bekalan wang ke sekolah tidak penting kerana rumah saya hampir dengan sekolah dan saya menggunakan peluang waktu rehat untuk balik ke rumah memakan nasi. Memang, walaupun ibu tiada di rumah, ibu sedia meninggalkan nasi yang akan saya makan waktu rehat.
     Sekiranya musim buah, ramai pula kawan-kawan saya yang datang memanjat pokok setar (buah remia). sebesar pemeluk di belakang rumah saya.
      Walaupun dalam keadaan serba daif, namun kami seronok sekali. Mungkin disebabkan kami tidak pernah melihat gaya kehidupan di tempat lain, tidak dapat juga kami bayangkan gaya kehidupan anak-anak bandar pada masa itu.
     Waktu petang biasanya kami keluar semula ke padang sekolah bermain layang-layang, atau masuk semula ke sekolah yang sememangnya tidak berpintu serta mencari-cari keratan kapur tulis yang dibuang cikgu dan kami menulis serta melukis di papan hitam.
      Abang-abang kami para belia serta remaja yang tidak bersekolah juga akan turun ke padang untuk bermain bola. Memang meriah suasana kampung pada waktu petang. Pada sebelah malam pula, usahkan untuk menonton tv, api letrik pun masih belum ada di kampung kami. Setiap rumah hanya menggunakan cahaya pelita minyak tanah, kecuali sebuah dua kedai runcit dan surau yang menggunakan lampu gaslin (lampu minyak).
     Kadang-kadang kami juga ke sekolah pada waktu malam menemani ibu kerana di sekolah kami juga diadakan sekolah 'kelas dewasa' waktu malam sebanyak 3 kali dalam seminggu. Di kelas itulah kalangan ibu kami dapat belajar membaca dan menulis tulisan rumi kerana rata-rata golongan tua di kampung kami lebih mahir membaca dan menulis jawi.
    Selain itu, kegiatan malam yang ada di kampung kami ialah permainan wayang kulit oleh tok dalang tempatan iaitu Pakyar. Itulah sahaja hiburan yang ada, menonton wayang kulit tok dalang pakyar atau sesekali melihat latihan dikir barat oleh pemuda kampung yang diadakan di rumah sepupu saya Abang Wel (Ismail Awang). Hanya sesekali diadakan pertunjukan makyong, menora, pertandingan kertok ataupun rebana.
     Bila diadakan pertunjukan dikir barat atau permainan makyong serta permainan puteri, kami berpakat awal-awal sesama kawan-kawan untuk hadir. Begitu juga bila sesekali diadakan pertunjukan wayang gambar oleh Jabatan Penerangan yang dpanggil oleh pendudukan kampung sebagai wayang harimau kurus atau wayang public lesen, saya dan kawan-kawan menjadi orang terawal berada di lokasi.
     Antara perkara baru yang di bawa ke kampung kami ialah bila ada abang-abang yang belajar di bandar pulang mengadakan latihan drama, maka dapatlah kami menyaksikan drama-drama yang dilakunkan oleh anak-anak muda Ulu Kusial.
     Shaari Mat Saman dan adiknya Mamat Mat Saman, Paksu Matnor (Mohd Nor Che Pa), Paksu Che Min, Che Minah Pakwa Lah dan dua tiga nama lain merupakan antara yang hebat dalam lakunan drama di kampung kami pada masa itu.
     Cuma, paling menyedihkan kami ialah apabila sesekali ada penduduk kampung yang meneduhkan lembu ternakan mereka di sekolah kami terutama pada hari minggu. Chegu kami akan bising dan marah-marah apabila ada tahi lembu di tepi sekolah dan kami akan bergotong royong membersihkan kelas dari najis tahi lembu.
PEMUDA ULU KUSIAL: ISHAK LOMAN, MAIL YAAKOB, MAT ZAIB DLL

No comments: