....

.....

27 September 2010

03 Ulu Kusial

BEKAS PELAJAR SKUK... DIDALAMNYA ADASUKARNO, ZAHUTAMA, DLL


     AYAH DAN IBU sudahpun membuat keputusan untuk berpindah juga ke kampung baru Ulu Kusial. Kata mereka rumah di kampung baru itu sudahpun siap dibina. Jarak kampung itu dengan kampung Bukit Telaga adalah kira-kira 3 kilometer. 
     Kawasan yang terpaksa kami lalui juga amat menakutkan bagi kanak-kanak zaman itu. Kawasan yang turut dikaitkan dengan kawasan keras dan berhantu. Kata penduduk kampung di tepi jalan situ ada satu pokok sisek pyu yang mempunyai penunggu. Saya tidak pasti kerana saya sendiri tidak pernah terserempak dengan apa-apa jenis usikan di kawasan itu. Cuma berhampiran dengan laluan itu ialah ada tapak kubur lama yang dikenali sebagai 'Kubur Tok Ngok'.
     Jalan yang terpaksa kami lalui ialah jalan tanah merah melalui Bukit Che Bah, iaitu bukit tinggi masa itu dan kawasan kebun getah Haji Pak Limah sebelum melalui kampung kecil yang dikenali sebagai kampung Gelugor. Jalan itu dibuat sendiri oleh penduduk kampung secara bergotong royong. Memang, pada masa itu amalan gotong royong menjadi satu amalan wajib dan dinati-natikan oleh penduduk kampung.
    Cara untuk mengerah penduduk bergotong royong juga mudah pada masa itu. iaitu dengan hanya meniup tetuang yang dibuat daripada tanduk kerbau, penduduk akan keluar beramai-ramai. Mereka akan membawa sendiri alatan yang diperlukan samada parang, cangkul , kapak dan sebagainya dan gerak kerja dilakukan secara sukarela dan bersungguh-sungguh.
    Peniup  tetuang paling terkenal di kampung Ulu Kusial ialah Tok Jidan dan juga Awang Minah. Saya lupa nama sebenar orang tua Tok Jidan yang paling berjasa ini. Tapi Tok Jidan lah yang menjadi siak di masjid kampung Bukit Telaga. Suaranya mendayu-dayu apabila mengalunkan azan ataupun membaca selawat sebelum khutbah Jumaat.
     Apabila ada sahaja kegiatan bergotong royong sama menambak tandak sungai untuk takungan air sawah padi, Tok Jidan akan meniup tetuang. Saya juga sempat melihat bagaimana kerja-kerja gotong royong yang dilakukan oleh penduduk kampung menebang, mencangkul dan membongkar tunggul untuk dijadikan jalan kampung dari Bukit Telaga ke Ulu Kusial. Kuatnya semangat perpaduan penduduk kampung masa itu. Memang gigih!!
     Itula, kebanyak pembangunan kampung masa itu digerakkan secara bergotong royong samada membangunkan sekolah, balai raya, surau apa lagi aktiviti yang membabitkan kenduri kendara serta kematian. Kaum ibu pula akan beramai-ramai menghantar makanan dan makanan gotong royong paling popular pada masa itu ialah pulut berinti yang dibungkus samada dengan daun pisang ataupun dibungkus dengan menggunakan daun keladi.
     KAMPUNG ULU KUSIAL
     Nama Ulu Kusial berasaskan kampung Kusial Lama terletak di pinggir Sungai Kusial yang terkenal dengan keteguhan Jambatan Guillimark yang gagah pada zaman penjajahan British.  Berdasarkan nama Kusial Lama  ini juga wujudnya kampung Kusial bersempadan dengan kampung Bukit Patak dan juga kampung Ulu Kusial kerana letaknya di ulu Sungai Kusial.
     Di Kampung Ulu Kusial inilah letaknya air terjun yang dekenali sebagai Lata Hujan, Lata Dinding dan juga Lata Air Kapeh melalui kampung Batu Jatuh. 
     Menurut cerita orang lama, tanah kampung Ulu Kusial merupakan pemberian pihak kerajaan kepada penduduk sekitar kerana taat setia mereka kepada kerajaan semasa zaman penjajahan dan juga zaman Darurat 1948 ketika negara turut diancam pengganas kominis.
     Antara penduduk terawal di sini ialah Haji Pak Limah kampung Hulu, Che Pa Lubuk Panggung, Toklat (nama sebenarnya Bulat), Tok Awang Jidan dan beberapa nama lain termasuklah arwah Haji Mat Mak Haji Sani. Ketua kampung ulu Kusial pada masa ini ialah Penghulu Mat Saman, yang kemudiannya dipegangpula oleh Penghulu Che Deraman dan pada hari ini Ishak Loman (Pakda Yak) sebagai Penyelia Pembangunan Mukim (PPM).
     RUMAH DI ULU KUSIAL
     Rumah kami di Ulu Kusial letaknya terkebelakang sedikit berhampiran dengan Buki Ajan, di pinggir sungai Ulu Kusial yang punca airnya dari Lata Hujan mengalir hingga ke kampung Kusial. Itulah Rumah Kayu, beratapkan daun sagu (nipah), bertiang bulat, lantai papan, dan gelegar bulat untuk jemuran. Keunikan ruang dapur ialah terdapat para tempat ibu meletakkan periuk belanga atau meletakkan sisa makanan supaya makanan tidak dimasuki semut.
     Saya tinggal di rumah ini yang berjiran dengan rumah Che Ajis (sekarang Cikgu Haris) dan adiknya Mat Zin Mustapha (sekarang Cikgu Matzin) dan satu lagi ialah rumah mak saudara saya Siti Hajar (Maksu Jar) dan beberapa rumah lagi milik penduduk kampung yang berasal daripada Tok Uban Pasir Mas termasuklah Tok Husin, Pak Wel, Paknik, Pak Muda dan juga Pak Dauh Tok Lebai.    
       Seronok juga tinggal di sini kerana saya dan Che Ajis serta kawan-kawan lain termasuk Pak Yar Tok Ayub (kini menetap di Felda Kemahang 3) dapat mandi sungai, bermain rakit batang pisang, bermain layang-layang dan gasing.
       Hinggalah suatu petang tiba-tiba nenek berkunjung ke rumah kami dan membawa sepasang pakaian sekolah. Barulah saya tahu bahawa zaman saya mula bersekolah sudah tiba. Tak lama lagi saya akan memasuki darjah satu di Sekolah Kebangsaan Ulu Kusial yang jaraknya kira-kira 300 meter dari rumah saya. 
       Sebaik musim persekolahan di buka, saya mula menjalani kehidupan sbagai pelajar sekolah. Seronoknya saya apabila dapat memakai seluar pendek biru, kemeja lengan pendek putih kain paplin dan berkasut. 
       Setahun kemudian, kesepian saya terobat bila ibu melahirkan adik lelaki, Mohamad Kamizi. Saya lalui hari-hari persekolahan saya dengan baik dan muncul antara 3 pelajar pintar darjah saya bersaing dengan dua rakan lain iaitu Zulkifli Daud (kini pengurus FELDA di Negeri Sembilan dan Alias Daud (kini berkhidmat dengan Lembaga Pertubuhan Peladang di Tanah Merah).
     Seingat saya , semasa di darjah satu , saya dipilih oleh guru untuk bertanding membaca buku cerita di sekolah kebangsaan Gual Ipoh melawan murid-murid darjah lima. Itulah kenangan paling manis dan malam pertama saya muncul di dewan orang ramai Gual Ipoh dan berdepan dengan microfon untuk mempersembahan bacaan saya iaitu cerita perlawanan minum air antara seekor burung dan seekor kerbau.
     Saya ingat lagi isi cerita yang saya baca, yang berakhir dengan kekalahan kerbau yang terlalu meminum air terlalu banyak berbanding dengan seekor burung yang hanya merendamkan muncungnya ke dalam air tanpa meminum setitik pun air yang disediakan....
     Saya mendapat hadiah berupa beberapa buah buku tulis, pembaris dan pensel menerusi pertandingan membaca buku cerita pada malam itu. 


     

No comments: