....

.....

29 September 2010

01 BUKIT TELAGA

     SAYA DILAHIRKAN DI KAMPUNG BUKIT TELAGA, iaitu sebuah kampung kecil, pendalaman dan terpencil dalam jajahan Tanah Merah, Kelantan. Dari bandar Tanah Merah samada menerusi jalan Jedok hingga ke simpang Batang Merbau atau melalui jalan menghala ke jalan Macang dan melalui Cekok Ipoh, mengambil masa tidak sampai sejam berkereta untuk sampai ke sini.
     Menurut nenek, saya dinamakan Hanafi mengambil sempena salah satu nama-nama Imam Mazhab, antaranya Hanafi, manakala kakak saya diberi nama Faridah kerana mengambil sempena nama sebuah kitab Paridah. Hanya iru yang saya tahu.  
     Kampung saya merupakan sebuah kampung lama yang dikelilingi kebun-kebun getah penduduk kampung dan beberapa kilometer ke pinggir kampung pula terdapat sawah-sawah padi di kaki bukit . Pekan paling hampir yang merupakan bandar kecil tempat penduduk kampung sekitar membelibelah ialah pekan kampung Gual Ipoh. Dari pekan kecil kampung Gual Ipoh untuk ke Bukit Telaga terpaksa melalui kampung-kampung Bukit TokMat, Bendang Lahar, Kampung Banggul dan Pak Nerali.
     Semasa saya masih kanak-kanak, perjalanan antara kampung Pak Nerali ke Bukit Telaga, kami terpaksa melalui jalan tanah merah di tengah kawasan kebun getah yang dikenali sebagai Bukit Pohon Ketereh. Pada masa itu,  kawasan ini amat sunyi dan menjadi satu kawasan yang amat menakutkan kerana dikaitkan dengan kawasan berhantu sehingga  amat jarang kanak-kanak atau orang perempuan yang berani melalui kawasan ini bersaorangan. 
     SEAWAL YANG SAYA INGAT
     Zaman kanak-kanak, seawal yang saya ingat ialah saya di dukung dan dijulang oleh ayah saya, dan itu merupakan kenangan manis bagi saya, namun saya tidak tahu pada masa itu berapakah usia, samada 3 atau 4 tahun.Kemudian, pada hari yang lain, saya ingat lagi, ketika ibu saya membawa saya berkujung ke rumah nenek. 
     Saya ingat lagi, di rumah nenek ada seorang wanita sedang memberi makan kepada seorang kanak-kanak perempuan dengan sejenis makanan yang saya tidak pernah merasainya sebelum itu. Warna makanan itu putih , jernih dan seakan-akan jelli. Perempuan muda itu menyuap sesudu makanan itu ke mulut saya dan kemudian beliau bersama anaknya menghilang di ruang dapur. 
     RUMAH DATUK
     Rumah datuk dan nenek saya agak besar juga pada masa itu. Bertiang kayu merbau empat segi, berdinding anyaman buluh dan beratapkan bata. Saya katakan antara rumah yang  terbesar di kampung itu pada masa it. Datuk saya pula Wan Hussein Wan Ali merupakan imam kepada masjid di kampung berkenaan yang diletakkan di bawah Mukim Ulu Kusial. Dan antara kampung yang dimasukkan ke dalam mukim ini ialah kampung-kampung Banggol, Pak Nerali, Bukit Kulim, Ulu Kusial, Kampung Gelugur, kampung Cermin, Gual Derahim, Kusial Lama dan juga Bukit Patak.
     Menurut nenek, datuk saya berasal dari Kota Bharu manakala nenek saya pula berasal dari Selatan Thai iaitu sekitar pekan Weng dan mempunyai ramai saudara mara di kampung Johol, Chemakih dan juga Medon. Hingga ini juga kami masih panjangkan silaturrahim samada di sebelah datuk saya di Kota Bharu ataupun di Selatan Thai. Cuma saya tidak diceritakan bagaimana datuk dan nenek saya bertemu dan kemudiannya menetap di kampung Bukit Telaga.
     DATUK DAN NENEK
     Datuk saya, Wan Husin Wan Ali mempunyai beberapa orang adik beradik iaitu Wan Jeriah Wan Ali, Wan Minal Wan Ali, dan Wan Som Wan Ali manakala nenek saya Siti Rani mempunyai adik beradik seibu sebapa Siti Khatijah Haji Arshad, Siti Nah Hj Arshad, Shafii Hj Arshad manakala adik beradik lain dari ibu bapa yang berlainan ialah Zainab, Rokiah, Zakaria dan Mat Zin. Menurut nenek saya Imam di kampung itu asalnya ialah ayah kepada nenek iaitu Haji Arshad.
     Saya cukup bangga mempunyai keluarga besar ini dan kebanyakan adik beradik datuk serta nenek menetap di sekitar kampung-kampung berhampiran.
     Datuk dan nenek saya hanya mempunyai orang anak iaitu ayah saya Wan Min Wan Hussein dan Wan Daud Wan Hussein. Bagaimanapun saya mempunyai ramai bapa saudara hasil perkahwinan datuk saya dengan 3 isteri yang lain iaitu bersama Halimah mendapat 1 anak iaiatu Wan Som Wan Hussein manakala perkahwinan dengan Aminah mendapat Wan Nab Wan Hussein.
     Perkahwinan datuk saya dengan isteri bongsunya Che Yah memberikan cahaya mata Wan Jusoh Wan Hussein, Wan Sidi Wan Hussein, Wan Mustapha Wan Hussein, Wan Izani bt Wan Hussein dan Wan Nor Wan hussein.
     ADIK BERADIK SAYA
     BAGAIMANAPUN, jodoh antara ayah saya dan ibu saya tidak panjang kerana mereka berpisah setelah mendapat dua anak iaitu kakak saya Wan Faridah Wan Min dan saya. Kata ibu, mereka berpisah semasa saya masih kecil. 
     Ayah berkahwin lain dengan Siti Khadijah mendapat 4 anak iaitu Wan Halimah (meninggal ketika berusia 12 tahun), Wan Abdul Aziz, Wan Thusainan dan Wan Hanafisah  manakala ibu berkahwin dengan ayah tiri saya Mat Sin mendapat Mohamad Kamizi dan Kamaruzzaman.
     Itulah.... Baru saya sedar bahawa yang menyuapkan makanan ke mulut saya itu ialah ibu tiri saya SITI KHADIJAH yang pada masa itu sedang menyuap adik saya WAN HALIMAH (arwah)...  semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh adik saya.... Alfatihah.
LOKASI KAMPUNG BUKIT TELAGA, GUAL IPOH, TANAH MERAH

..... BERSAMBUNG DI 02 ALIK JATUH 

2 comments:

miszjue said...

nice....kisah silam mengajar kita segala-galanya....

haslina said...

pengalaman lalu memaangkan sebuah kehidupan...penyampaian yang bagus