....

.....

23 September 2010

07 Bersama Nenek

     Ketika tinggal bersama nenek saya terpaksa mematuhi banyak disiplin yang ditetapkan oleh nenek. Balik dari belajr di sekolah kebangsaan Gual Ipoh, saya terpaksa pula memasuki kelas petang di Madrasatul Rahimiah Gual Derahim. Menjelang Magrib terpaksa mengaji Quran di rumah bapa saudara saya Wan Daud.
     Ramai yang mengaji Quran di rumah bapa saudara saya yang bukan sahaja kalangan anak-anak Bukit Telaga tetapi juga anak-anak dari kampung Gual Derahim.
     Pada masa ini Datuk saya Wan Hussin Wan Ali masih juga lagi sebagai imam masjid Bukit Telaga. Bagaimanapun banyak hal ehwal masjid termasuk membaca khutbah Jumaat telah diserahkan kepada bapa saudara saya Wan Daud. Datuk pula jarang berada di rumah nenek kerana datuk mempunyai seorang lagi isteri yang dikenali sebagai Che Yah di kampung ulu kusial.
     Bersama saya juga di rumah nenek ialah Kakak saya Wan Faridah, adik saya Wan Halimah dan seorang sepupu iaitu Wan Zahari. Pahit manis sebagai anak-anakkampung kami harungi bersama. Cuma sesekali sahaja saya diberi peluang untuk balik berjumpa ibu di Kampung Ulu Kusial. Itupun pada hari minggu. Alasan nenek ialah supaya saya dapat habiskan pengajian Al Quran sebelum saya berpindah ke sekolah ke peringkat yang lebih tinggi.
    Nenek banyak mengajar saya erti kehidupan. Sebagai seorang anak kampung, saya perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu. Kata nenek saya perlu boleh menjadi seorang yang boleh menggauli masyarakat. Saya perlu boleh bergaul dengan baik, boleh menjadi imam di masjid, boleh berpancak silat di gelanggang, mampu menjadi pemidato yang baik.... dan mampu menjadi pemimpin.
     Nenek banyak memberi contoh datuk yang disegani oleh masyarakat waktu itu. Nenek banyak memberi contoh ayah sendiri yang juga menjadi guru agama di sekitar mukim Batu Gajah dan disegani serta di kenali penduduk sekitar. Nenek juga banyak memberikan contoh bapa saudara saya yang bakal mewarisi jawatan imam di kampung itu nanti.
     Antara pengalaman menarik yang saya perolehi semasa di bangku persekolahan rendah, semasa tinggal bersama nenek ialah Datuk selalu membawa saya ke majlis akad nikahpenduduk kampung. Pada masa itu majlis akad nikah pasangan pengantin tidak dijalankan di masjid-masjid seperti hari ini. Kebiasaannya majlis akad nikah dibuat di rumah pengantin perempuan sebaik selepas solat Isyak.
     Banyak majlis akad nikah yang dapat saya sakisikan ketika menemani datuk saya selain majlis-majlis tahlil. Arahan supaya saya mengikut datuk ke majlis seumpa itu sebenarnya dibuat oleh nenek saya. Nenek mahukan saya mengikut jejak langkah ayahnya, suaminya dan anak-anaknya. Agar saya dapat menjadi lelaki soleh, warak dan beriman apabila dewasa. Dengan kata lain, mungkin hasrat nenek supa saya dapat menjadi seorang ustaz.
      RAGU
     Bagaimanapun saya sendiri ragu-ragu sebenarnya dengan masa depan saya waktu itu. Saya tidak tahu ke mana arah masa depan saya. Apa yang saya tahu , saya perlu belajar. Perlu menjadi murid pandai, perlu menjadi seorang murid yang disayangi. Itu sahaja. Lantara hari-hari persekolahan yang saya lalui, saya belajar dengan tekun dan perlu menjadi antara 10 pelajar terbaik di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh.
Buah Gajus banyak terdapat di kampung saya

No comments: