....

.....

23 September 2010

08 Sek Men Ren Gual Ipoh

  
Sekolah Menengah Rendah Gual Ipoh tempat saya memulakan pengajian di tingkatan satu, bukanlah di Sekolah Menengah Gual Ipoh seperti yang ada sekjarang ini. Disebabkan tidak ada bangunan sendiri, kami kami terpaksa menumpang belajar di bangunan Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh. Oleh yang demikian kami terpaksa belajar sesi petang dan kelas yang ada pada masa itu hanya 3 kelas iaitu tingkatan satu, tingkatan dua dan tingkatan tiga sahaja.
    Guru kami di Sekolah Menengah Gual Ipoh sewaktu itu ialah Cikgu Murah (sebagai guru besar) yang mengajar Bahasa Melayu, Cikgu Aziz Said mengajar Ilmu Alam, Cikgu Ghafar (sains), Cikgu Yaakub Sahak (dikenali umum sebagai penyair Wan A Rafar), Cikgu Siva (bahasa Inggeris), Cikgu Zulkifli Hashim mengajar Ilmu Hisab dan beberapa nama lain kalangan guru perempuan.
     Terima kasih kepada semua guru-guru yang mengajar kami dan yang pasti ramai lagi yang masih ada. Cikgu Zulkifli Hashim yang berasal dari Perak menetap di Tanah Merah sekarang ini. Dan saya juga bangga kerana ada juga antara guru yang juga seorang penyair... iaitu cikgu Yaakub yang juga dikenali sebagai Wan A Rafar. Saya masih ingat cikgu Yaakub mendeklamasikan sebuah puisi dengan tajuk BAGUNG semasa saya di tingkatan dua. Kemudian banyak karya-karya beliau yang dihasilkan. Cikgu, nama cikgu sentiasa di hati saya.Rupanya banyak lagi karya-karya cikgu selepas kita berpisah.
     Tidak ramai pelajar perempuan yang sekelas dengan saya. Mungkin faktur budaya. Penduduk kampung tidak menggalakkan anak-anak perempuan bersekolah tinggi. Ada juga yang sesetengahnya yang menamatkan persekolahan sehingga darjah 6 dan mengambil langkah berkahwin. Itulah yang berlaku pada zaman saya bersekolah.
     Saya ingat lagi antara beberapa pelajar perempuan yang sama sekelas dengan saya ialah Paridah Mamat dari mapung Tok Che Dol (kemudian berjaya menyambung belajar di Universiti Malaya), Rokiah Mat Salleh (berkhidmat dengan Jabatan Pertanian), Rohani Che Soh (bertugas di Kuala Lumpur) dan dua tiga nama lain sahaja yang berjaya hingga menamatkan pengajian di tingkatan 3.
     Kami belajar bersungguh-sungguh biarpun dalam keadaan serba kekurangan. Banyak kekurangan yang kami hadapi. Kami tidak ada makmal untuk pembelajaran sains. Begitu juga dengan perpustakaan. Zaman saya bersekolah juga tidak ada bantuan buku teks seperti hari ini. Kami terpaksa membeli sendiri buku-buku teks sains dan juga novel untuk pelajaran Bahasa Melayu.
     Saya ingat lagi Novel pembelajaran kami di tingkatan satu ialah novel AHAD, dengan watak utamanya ialah Amin, Hassan dan Dahalan; manakala novel yang kami belajar di tingkatan dua ialah novel Musafir dengan watak utamanya ialah seorang mualaf bernama Leman.
     Sebuah lagi novel bacaan kami semasa di sekolah menengah rendah ini ialah Di Bawah Alunan Ombak karya Datuk Hj Abdul  Rashid Ngah.
    Saya suka membaca novel-novel ini. Malah melalui beberapa buah buku yang ada di peperpustakaan sekolah saya suka meminjam buku-buku yangberbentuk cerita seperti Desa Pingitan dan beberapa buku Hikayat termasuklah Hikayat Pendawa Lima.
     Biarpun belajar dalam keadaan serba kekurangan namun kami tetap tabah. Wang saku yang dibekalkan oleh nenek saya pada setiap hari persekolahan masa ini hanyalah RM0.15. Sudah cukup membeli sepinggan nasi 10 sen dan air sirap dengan harga 5 sen di kantin Mak Wan (ayah kepada Cikgu Wan Ismail).
     Antara kawan-kawan yang dikelaskan sebagai 10 pelajar pintar pada masa ini ialah Abdul Rahman Ismail, Hashim Harun, Zulkifli Harun, Zulkifli Daud dan Rohani Che Soh. Apa yang menarik ialah, kami terpaksa belajar bersungguh-sungguh kerana pelajar yang mendapat pangkat A sahaja yang layak menyambung pelajaran ke tingkatan 4, manakala mereka yang mendapat pangkat C tidak akan dapat menyambung pelajaran ke mana-mana sekolah.
     Sehinggalah keputusan peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) diumumkan, saya merasa amat gembira kerana lulus dengan baik dan dicadangkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Kelantan menyambung pelajaran ke  Sekolah Menengah Ismail Petra (SMIP) Kota Bharu dalam aliran Sains tulin.

No comments: