....

.....

23 September 2010

09 SMIP



SEBAIK KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL RENDAH PELAJARAN (SRP) diumumkan pada penghujung Disember, saya tidak menduga sama sekali bahawa antara 3 orang yangt terpilih ke tingkatan 4 aliran Sains di Sekolah Menengah Ismail Petra Kota Bharu . Saya menerima keputusan daripada cikgu Zul (Zilkifly Hashim) dengan rasa yang amat bangga sekali.
     . Ada lagi dua yang terpilih mengikuti kelas aliran Sains iaitu Hashim Harun (kini di Pejabat Pendidikan Daerah Seremban) dan Abdul Rahman Ismail (Teye) yang kini berkhidmat dengan Lembaga Pertubuhan Peladang.. Tahniah!! itulah luahan yang terkeluar dari bibir cikgu Zul.
     Bagaimanapun saya menerima ucapan tahniah daripada bibir Cikgu Zul dan kawan-kawan dengan hati yang berbelah bahagi. Nenek pasti tidak bersetuju saya bersekolah di SMIP. Nenek lebih suka kalau saya berhenti sahaja bersekolah dan membuat kerja kampung. Atau nenek akan menghantar saya bersekolah di sekolah pondok, belajar mendalami pengajian kitab. Nenek bangga kalau saya dapat menjadi ketua tahlil. Selama ini pun nenek bangga kalau sesekali saya azan di masjid menggantikan Pada Husin.
     Bagaimanapun nenek mendapat nasihat daripada Datuk saudara saya Tok Shafii (Shafii Hj Arshad) iaitu adik bongsunya yang tinggal di Banggol supaya saya dihantar juga bersekolah di SMIP. Begitu juga dengan ibu sepupu saya Ustazah Aishah (saya panggil Kakwan Ciksah) yang pada masa itu mengajar di Sekolah Putera. Kata mereka saya boleh tinggal bersama kakwan Ciksah di Wakaf Mek Zainab.
     Saya merasa gembira sangat. Bukan gembira kerana dapat belajar di Kota Bharu, bukan gembira kerana dapat memasuki aliran sains, tetapi gembira kerana tidak belajar di sekolah pondok, membotakkan kepala, pakai ketayap dan rutin harian ialah ke majlis tahlil atau kerja memandikan mayat. Itulah batas pemikiran saya pada masa itu.
     Kebetulan juga seorang ayah sepupu saya Buniamin Shafii (saya panggil pakcu Min) juga belajar di Kota Bharu iaitu di Sekolah Kadir Adabi Kampung Sireh. Pakcu Min memasuki tingkatan enam rendah di SKA selepas menamatkan pengajian tingkatan lima di Sekolah Menengah Dato Mahmud Paduka Raja Tanah Merah.
     SMIP banyak member pengajaran kepada saya. Bukan sahaja saya berdepan dengan mata pelajaran baru sains tulin, tetepi juga penghidupan Bandar yang saya belum lalui sebelum ini. Rumah yang saya tinggal menumpang kakwan Ciksah ialah di 3B Rumah Murah Wakaf Mek Zainab. Saya terpaksa bersekolah sesi petang lagi di sini. Pada masa itu SMIP hanya ada dua blok bangunan, manakala dua blok lagi yang baru sedang dalam pembinaan selain dewan sekolah juga sedang dalam perancangan untuk dibina oleh pihak sekolah.
     Masa itu Kakwan Ciksah mempunyai seorang pembantu rumah bagi mengasuh anaknya yang baru lahir iaitu SHAMSUL RIZAL (kini menjadi guru di Perak). Jadi tinggallah saya bersama dengan Kak Noraini sewaktu kakwan pergi mengajar.  Suami Kakwan Ciksah, cikgu Hassan masih mengajar di Sekolah Kebangsaan Gual Ipoh dan pulang hanya seminggu sekali ke rumah itu.
     Dua orang yang lain di rumah itu ialah Azahani iaitu anak saudara Kakwan Ciksah dan Huzaifah iaitu anak kepada kawan Kakwan Ciksah dan mereka belajar di Sekolah Tengku Indera Putra dalam kawasan perumahan di situ. Huzaifah di darjah lima manakala Azahani di darjah empat.
     Itulah kawan-kawan saya , iaitu Kak Noraini, Huzaifah, Azahani dan anak lelaki kakwan ciksah Shamsul Rizal.  Beberapa bulan kemudian seorang lagi yang tinggal di rumah itu iaitu Shukri (adik kepada Cikgu Hassan) yang belajar  Institiut Pendidikan (IP) kerana mengambil semula peperiksaan SPM.
   Rutin saya ialah ke pasar setiap pagi untuk membeli ikan. Dan itulah, setiap pagi saya akan berkayuh basikal dari Wakaf Mek Zainab samada membeli ikan di Pasar Besar Kota Bharu ataupun membelinya di pasar Kubang Pasu.
     Tidak menjadi masalah kepada saya kerana masa itu Bandar Kota Bharu tidak sesibuk seperti hari ini. Basikal yang saya gunakan itu ialah basikal Paksu Cik Wel, iaitu adik kepada Kakwan Ciksah yang sebelum ini belajar di Maahad Muhammadi. Kadang-kadang pada hari minggu saya berkunjung ke rumah saudara mara terdekat datuk saya iaitu Wan Jariah yang rumahnya bersebelahan pagar sekolah Maahad Muhammadi . Sesekali pula saya ke rumah sewa Pakcu Min di Kampung Sireh dan belajar bersama dengan Pakcu Min.
     Masa ini Pengetua SMIP ialah Cikgu Alwi yang kemudiannya diganti oleh En Ismail Mat. Antara guru-guru lain yang saya masih ingat ialah Cikgu Nik Mastura, Tan Guat, Miss Tan, Cikgu Ghani dan beberaoa orang cikgu Indonesia iaitu Pak Purnomo Imam, Ahmad Mattin dan....... (maaf saya lupa).
     Dua tahun saya di Kota Bharu memberikan saya pelbagai pengalaman baru. Sesekali pulang ke kampung, samada ke Bukit Telaga atau Ulu Kusial, saya telah dilihat sebagai pelajar Bandar oleh orang-orang kampung.
     Masa ini kawan-kawan saya yang lain Zulkifli Daud, Che Husin Mat Jusoh, Alias Daud dan Rokiah Mat Salleh belajar di Sekolah Vikasional Pertanian Chenor Pahang. Kawan saya Aziz Abdullah, Kamaruzaman Hj Abdullah dan Abdullah Zawawi Che Tengah pula belajar di Sekolah Menengah Vikasional Teknik Pengkalan Chepa dan hanya seorang yang ke sekolah Puteri Kolam Air iaitu Rohani Che Soh.
      
Bersambung ke

No comments: