....

.....

24 September 2010

11 SEKOLAH ADABI PASIR MAS


Sebaik tamat pengajian di Institiut Pertanian Kuala Lipis, saya merasakan masih belum berpuas hati dengan tahap pembelajaran saya. Rata-rata kawan lama yang ditemui sudah melanjutkan pelajaran di university. Ayah sepupu saya Pakcu Min (Buniamin Shafii) yang dulunya belajar di tingkatan enam rendah Maktab Kadir Adabi juga Berjaya memasuji Universiti Malaya.
     Masa ini hanya 3 orang sahaja anak dari mukim Gual Ipoh, yang belajar di Gual Ipoh yang Berjaya menjejakkan kaki ke university. Pakcu Min, Abdullah Awang Nor (Dilah Pak Tua Tor dari kampung Gerong) yang memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia dan Shaari Arifin dari Gual Ipoh memasuki Universiti Sains Malaysia (USM).
     Semangat saya berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki seperti Pakcu Min, Dolah Pak Tua Nor dan Shaari Ariffin. Lantaran saya belajar lagi di Sekolah Kadir Adabi Pasir Mas bermula tingkatan enam rendah.
     Angin berlumba-lumba untuk belajar dan memasuki university kencang bertiup di Kelantan masa ini. Di Sekolah Kadir Adabi Pasir Mas sahaja terdapat dua kelas tingkatan enam atas dan dua kelas tingkatan enam bawah. Belum lagi diambil kira sekolah-sekolah swasta lain yang ada di seluruh pelusuk negeri Kelantan.
     Bagi kakitangan kerajaan pula, ramai yang mengambil kelas malam untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan.  Tidak hairanlah di sekitar tahun-tahun 70an serta 80an memang ramai pelajar-pelajar dari Kelantan di IPTA.  Penduduk kampung juga seakan-akan berlumba-lumba bercerita mengenai pendidikan. Anak siapa yang Berjaya, siapa yang gagal malah masing-masing akan berusaha agar ada kalangan keluarga mereka yang Berjaya menjejakkan kaki ke university.
     Bagi keluarga saya, berjayanya Pakcu Min memasuki university merupakan satu penggalak agar lebih ramai kalangan saudara mara yang lain menjejakkan kaki ke menara gading.
     Memang kekok. Saya mula pula belajar sastera, bergelumang dengan novel-novel serta buku-buku sejarah. Banyak perlu memahami pelajaran ekonomi dan geografi.  Antara buku-buku satera yang saya terpaksa membaca berulangkali ialah Hikayat Hang Tuah, novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Dato Shahnon Ahmad dan juga Keluarga Gerilya karya Pramoedya Anantatur.
    Yang pastinya memang menarik belajar di tingkatan enam. Saya sangat suka dengan novel-novel. Pada saya menerusi novel yang say abaca, saya memperolehi ramai kawan. Saya dapat mengenali dengan lebih dekat pengarangnya. Saya kenal Datuk Shahnon Ahmad. Saya mendekati kampung Banggol Derdap pecan Sik Kedah, biarpun sebelumnya saya tidak pernah sampai ke situ.
     Malah lebih jauh lagi saya dapat mengenali Lahuma serta isterinya Jeha. Begitulah juga dengan anak-anaknya iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah.
     Pelajaran di tingkatan 6 memang cukup menghiburkan.  Begitu juga dengan pelajaran sejarah dan ekonomi.   Yuran yang dikenakan oleh pihak pentadbiran sekolah Adabi untuk tingkatan enam rendah masa ini Cuma RM 33 sebulan.   
     Saya juga mendapat ramai kawan-kawan baru di sini, Syukri, Fitri, Mat Zin dan seorang lagi rakan sekolah menengah rendah Gual Ipoh iaitu Paridah Mamat juga turut belajar di sini. Paridah akhirnya Berjaya memasuki Universiti Malaya.
     Bagaimanapun cabaran untuk kejayaan terlalu banyak. Di Pasir Mas juga banyak godaan untuk kami tidak belajar dengan bersungguh-sungguh. Persembahan dikir barat boleh dikatakan ada pada setiap bulan. Kami tidak melepaskan peluang untuk hadir ke tempat-tempat dikir barat, pesta pantai sehingga tumpuan kepada buku-buku menjadi kurang.
     Pasir Mas merupakan pekan penting yang digunakan sebagai laluan ke Tanah Merah, Kota Bharu, Rantau Panjang sehingga ke Thailand dan juga jalan pintas untuk ke Tumpat.Boleh dikatakan Pasir Mas juga merupakan sebuah pekan yang agak maju masa itu. Bagaimanapun kami tetap berhati-hati memilih kawan kerana pada masa ini gejala sosial kalangan pelajar semakin meluas.
     Pasir yang hampir dengan Rantau Panjang dan Sungai Golok Thailand juga mula menjadi tempat remaja menyeludup ganja. Memang ramai juga kalangan pelajar yang terbabit dengan najis ganja biarpun pada masa itu pihak kerajaan tidak mengenakan hukuman seketat masa ini.
     Malah ramai kalangan pelajar yang berkawan dengan pemuda pasar yang bekerja sebagai penjual ikan serta pemikul beras seluduk dari keretapi.
     Saya , Syukri (kini penolong pengurus Felda Chiku 7), Mat Zin (kini guru) dan Fitri (kini kontraktor) amat berhati-hati tentang hal ini.

No comments: