....

.....

26 September 2010

02 ALIK JATUH



     Kawasan beberapa buah rumah yang saya duduki bersama ibu dan ayah tiri di panggil "Balik Jatuh". Maksudnya arah ke barat (arah matahari jatuh) daripada di kampung Bukit Telaga, kira-kira satu kilometer daripada rumah nenek saya. 
     Rumah-rumah lain yang ada di sekitar rumah kami ialah rumah kakak kepada ibu iaitu Siti Aminah Mat Saman yang kami panggil Mak Tengah Minah dan suaminya Tok Awang Petah. Sebuah lagi rumah berhampiran ialah rumah kepada ibu bapa kepada ayah tiri saya. Ibu bapa kepada ayah tiri saya di kenali sebagai Tok Pok Min dan Tok Bidah.
     Saya hanya sempat berjumpa kakak kandung saya Wan Faridah hanya beberapa kali sahaja dalam seminggu atau sebulan. Itupun apabila ibu membawa saya ke rumah nenek. Tetapi amat jarang, maklumlah ibu juga sibuk dengan kerja-kerja harian di kampung. Saya terasa amat sunyi sangat di rumah itu, maklumlah rumah kami agak terpencil dan berhampiran dengan kebun getah.
     Hari-hari yang saya lalui ialah menemani ibu di kebun getah sambil bermain buaian yang ibu buat di tempat beliau menoreh. Pada saya ibu memang cantik, berkulit putih, berambut ikal dan amat suka tersenyum.
     Bila sesekali kakak, yang saya panggil kakwan datang berkunjung, saya amat seronok. Kakak akan membawa buah-buahan. Pada masa itu kalaupun dapat memakan buah temikai (timun cina), sudah cukup menggembirakan. Kakak akan bungkus elok-elok walaupun separuh buah temikai, dan membawa kepada saya. Itupun bula sesekali nenek balik dari Kota Bharu berkunjung ke rumah keluarga datuk di Kampung Sireh ataupun di sekitar Kubang Pasu bersebelahan Sekolah Maahad Muhammadi.
     Kesunyian saya bersama ibu dan ayah kemudian terobat apabila sepupu ibu iaitu keluarga Maksu Che Som turut berpindah ke kampung Bukit Telaga. Maksu Che Som dan suaminya Pakleh membawa bersama dua anak perempuan iaitu Halimah atau nama sebenarnya Zulazulajiwaher dan adiknya Zainun.         Tapak rumah kami pada masa sekarang ialah tapak rumah Paksu Che Wel di Bukit Telaga.
     Fatimah dan Zainun itulah kawan sepermainan saya. (catatan: Hatimah kini menetap di Wakaf Mek Zainab dan bekerja sebagai pembantu makmal sekolah) manakala Zainun menetap serta berniaga di Panji Kubang Kerian, Kota Bharu).
     SERBA KEPAYAHAN
     Kehidupan di kampung masa ini amat jauh berbeza dengan masa sekarang. Kenderaan-kenderaan yang sesekali melintas di kampung kami ialah land rover. Itupun land rover polis dan land rover pasukan ukur yang menjalankan kerja-kerja ukur bagi membangunkan tanah perkampungan baru Ulu Kusial.
     Masa ini juga Tanah Melayu sedang berdepan dengan zaman konfrontasi  dengan Repablik Indonesia. Rata-rata penduduk Tanah Melayu termasuk penduduk kampung dalam keadaan bimbang dengan serangan pemberontak yang tidak setuju dengan penyatuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak. Rata-rata bercakap mengenai serangan pemberontak dari Indonesia. Takut!!
     Saya masih ingat lagi ayah tiri saya sentiasa membawa senjata ketika berjalan waktu malam samada kapak kecil atau parang jenguk sebagai senjata berjaga-jaga mempertahankan diri.
     Saya masih ingat lagi suatu malam ketika kami bertiga (ibu, ayah dan saya) sedang berjalan kaki ke suatu tempat pertunjukan dikir barat, tiba-tiba terserempak dengan kenderaan dari arah hadapan. Pantas ayah melempar parang jenguk di tangannya ke dalam semak. Memamg benar, kenderaan berkenaan membawa beberapa orang anggota polis. Sebaik tiba di tempat kami berjalan, land rover polis berhenti dan beberapa orang anggota polis turun memeriksa ayah. Nasib baik ayah awal-awal melemparkan senjata.
     Bagaimanapun keesokannya ayah pergi semula ke tempat itu untuk mencari parang jenguknya, tetapi gagal menemuinya. Semak di kiri kanan jalan yang kami lalui amat tebal.
     KAMPUNG BARU
     Pelbagai perkara menarik rupanya semasa saya masih kecil. Penduduk kampung bergembira kerana Tanah Melayu bebas dari belenggu penjajahan, bimbang dan waspada dengan saki baki ancaman komunis semenjak zaman darurat dan konfrontasi dengan repablik Indonesia. Namun saya tidak tahu apa-apa pun selain menjalani kehidupan rutin saya sebagai seorang kanak-kanak.
     Di suatu situasi lain, penduduk kampung sekitar juga sedang berusaha berhijrah ke kampung baru iaitu kampung Blok Ulu Kusial. Saya hanya mendengar antara faham dengan tidak perbualan antara ayah dengan ibu bahawa mereka juga akan berpindah ke kampung baru Ulu Kusial kira-kira 2 kilometer ke selatan Bukit Telaga. Saya rasa sedih dengan perkembangan terbaru itu. Bukan sahaja saya seronok tinggal di Bukit Telaga tetapi juga terpaksa berpisah dengan dua orang kawan sepermainan yang saya sudah mengganggap sebagai adik sendiri iaitu Halimah dan Zainun
     Satu lagi yang bermain di benak saya ialah saya akan berpisah lebih jauh dengan kakak saya Wan Faridah  dan juga nenek serta datuk saya. Apalah daya saya. Akhirnya Bukit Telaga terpaksa saya tinggalkan jua. 
       


     

No comments: