....

.....

23 September 2010

10 IPKL

BANGUNAN PENTADBIRAN INSTITIUT PERTANIAN KUALA LIPIS

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) yang kurang memberangsangkan menyebabkan saya merasa amat kecwa sekali. Apa yang bermain difikiran saya ialah saya perlu menyambung semula samada memperbaiki sijil saya dengan lebih baik atau memasuki tingkatan 6 sekolah swasta.
     Memang pada masa ini sekolah-sekolah swasta bangun di Kelantan bagaikan cendawan tumbuh. Di sekitar Kota Bharu terdapat Maktab Kadir Adabi Kampung Sireh, Institut Pendidikan di bangunan stadium, Kenali di Kubang Kerian, Pertima di Kota Bharu, Institiut Warisan di Tanah Merah, Institiut Jaya di Kuala Krai dan beberapa sekolah swasta yang lain si Machang.
    Semangat ibu bapa di Kelantan memang ingin melihat anak-anak Berjaya, berpendidikan. Dan saya mula menanamkan hasrat untuk memperbaiki sijil saya untuk cita-cita yang lebih tinggi. Bagaimanapun tidak ada sekolah swasta yang menawarkan aliran sains. Ini menjadi masalah kepada saya.
     Saya tidak putus asa. Pelajaran perlu di teruskan. Akhirnya saya memohon untuk belajar di Institiut Pertanian dan dipanggil melapur diri di Institiut Pertanian Kuala Lipis. Saya merasa bertuah sekali kerana saya tidak perlu menganggur terlalu lama, lagipun semua pelajar ke IP di taja dan mendapat biasiswa sepenuhnya. Saya ditaja oleh Kerajaan negeri Kelantan.
    Apa yang penting ialah pelajar lepasan IP akan lebih mudah mendapat kerja samada Jabatan Pertanian, KADA, Lembaga Tembakau Negara, Mardi dan sebagainya.
     Kumpulan saya yang melapur diri di sini ialah seramai 10 orang manakala 10 lagi melapur diri di Institiut Pertanian Bumbung Lima, Seberang Prai. Saya masih ingat, antara kawan-kawan saya ialah Azmi Yaakob, Muhamad Awang, Abdullah Ghani, Nikman Harun, Mohamad Hamat dan beberapa nama yang lain ….
   Saya memulakan kehidupan baru di sini dengan penuh pengalaman termasuk menghadapi minggu orientasi yang lasak dan berdepan dengan kawan-kawan baru daripada negeri Pahang dan juga Terengganu. Slogan yang kami patuhi ialah Pelajar Pertanian Tahan Lasak.
    Inilah kali pertama saya berjauhan dari keluarga dan mengenali Bandar Kuala Lipis. Sebuah banad yang menarik di pendalaman Pahang yang juga bekas ibu negeri Pahang suatu masa dulu. Ramai yang berkata Kuala Lipis hanya hidup disebabkan adanya landasan serta setesen keretapi. Keunikan bandar Kuala lipis juga ialah terdapatnya rumah-rumah rakit yang menjadi kediaman kepada mereka yang tidak bertanah. 
   Satu yang saya ingat sampai ke hari ini ialah, kematian adik perempuan saya Wan Halimah tidak disampaikan oleh keluarga kepada saya. Alasan mereka di kampung ialah tidak mahu mengganggu pembelajaran saya.
      Bagaimanapun, semasa saya di tahun ke 2 di sini, suatu angin perubahan berlaku iaitu musim kebangkitan pelajar yang berdemonstrasi ekoran daripada berlakunya demonstrasi Baling oleh para mahasiswa university.
     Bagi pelajar di Institiut Pertanian, tuntutan yang dibuat ialah supaya institusi itu di naik taraf  dan mempastikan pelajar lepasan IP mendapat diploma. Antara asas tuntutan ialah rata-rata pelajar ke IP memiliki sijil SPM dan terpaksa menghabiskan masa selamat 3 tahun di kampus.
         Pelbagai kempen dan sudut pidato dibuat bagi menyemarakkan semangat pelajar. Saya masih ingat, pemimpin pelajar IP pusat (dari IP Serdang) pada masa itu bernama Talib yang berasal dari Melaka manakala Presiden pelajar IPKL pula ialah saudara Ramli Husin. Setiap malam kami berkumpul mendengar perkembangan terbaru hasil memorandum yang dihantar kepada pihak kementerian. Kemuncak kepada tuntutan ialah kami berdemonstrasi secara aman di sekitar kawasan kampus dan suatu hari kami terpaksa memasak nasi bubur kerana dewan makan ditutup. Sebenarnya kami meraih simpati supaya tuntutan kami dilayan.
     Usaha berdemonstrasi tidak berakhir di sini. Kemudiannya semua pelajar Institiut Pertanian  samada IP Parit Perak dan  IP Bumbung Limaberkumpul di IP Serdang. Antara penceramah luar yang datang membantu menyemarakkan semangat ialah para pemimpin beberapa badan NGO yang lain.Kami juga mendapat suntikan semangat daripada Persatuan kakitangan MARDI dan pemimpin pelajar ITM iaitu Saudara Ibrahim Ali (kini Datuk Ibrahim Ali MP Pasir Mas).
     Semangat yang berkobar-kobar ini membawa kami bergerak ke luar kampus dan berkumpul di Tugu Negara.
     Ini menyebabkan kami dikepung oleh pihak Polis Anti Rusuhan (FRU) dan kami berlindung di bangunan Masjid Negara. Pelbagai peristiwa menarik semasa kami dikejar oleh FRU kerana ada antara kawan-kawan yang terpaksa terjun ke sungai Gombak selain tersasar di lorong-lorong sekitar Kuala Lumpur hingga masuk ke lorong beberapa orang sedang berjudi.
     Saya ingat lagi, semasa berada di masjid Negara, kami mendapat bekalan makanan berupa roti daripada Persatuan Sosialis Universiti Malaya dan turut di hadiri oleh aktivis pelajar Hishamudin Rais, setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) masa itu.
     Bagaimanapun pihak FRU Berjaya memporak perandakan kumpulan kami dan kami diarah kembali semula ke kampus Institiut Pertanian Serdang.
     Akhirnya… kami terkejut kerana kampus kami telah ditawan oleh pasukan Field Force dan kami diarah masuk ke bilik hanya mengambil pakaian dan kami diarah pulang untuk bercuti selama tiga minggu. Tiga minggu kami terpaksa meninggalkan bandar Kuala Lipis dan tidak dibenarkan singgah sekembali dari kampus IP Serdang.
BANDAR KUALA LIPIS

No comments: