....

.....

14 October 2010

15 FELDA RANTAU ABANG 02

....sambungan perjalanan dari 15 FELDA CHIKU 02
KG NELAYAN JAMBU BONGKOK TEMPAT KAMI TINGGAL MENYEWA 
SEMASA  PEMBUKAAN AWAL FELDA RANTAU ABANG 02.
SAYA MERASA AGAK RISAU bila menerima surat daripada pihak perjawatan yang mengarahkan saya supaya bertukar ke Felda Sungai Merchang 02, Terengganu. Sebelum ini pun saya tidak pernah mendengar nama itu. Apa lagi, kawasan Merchang yang saya tahu ialah kawasan pantai, kawasan orang menangkap ikan, mejemur ikan bilis, ikan untuk dibuat ikan kering atau apa jua yang berasaskan laut dan pantai.
     Setahu saya juga nama yang paling hampir dengannya ialah Felda Merchong. Bagaimanapun, yang pasti, itu merupakan kawasan baru tanah rancangan yang akan dibuka oleh Felda.
     Saya tidak berhajat untuk merayu supaya pertukaran itu dibatal biarpun pengurus saya Haji Zakaria Hamat cuba membuat pengesyuran supaya saya merayu untuk tidak berpindah. Pada saya pengalaman bertukar tempat kerja adalah amat tinggi nilainya.
     Memang benar, Felda Rantau Abang 02 adalah rancangan yang akan dibangunkan bersama dengan Felda Rantau Abang 01. Bezanya Felda Rantau Abang 02 berada di kawasan hutan Jambu Bongkok, Terengganu manakala Felda Rantau Abang 01 di kawasan Pasir Putih Terengganu. Satu lagi kawasan rancangan yang turut dibangunkan pada masa ini ialah Felda Chador, Bukit Payung.
      Saya melapur diri kepada pengurus En Ibrahim Ali. (Encik Ibrahim kemudiannya bertukar ke Felda Mengkuang Pahang dan diganti dengan pengurus baru iaitu Encik T Gevaratnam). Memang, kawasan yang dicadangkan itu benar-benar hutan yang bersebelahan dengan Felcra Bukit Kancil serta bersempadan dengan kampung Tanjung Gaduh.
      Kumpulan kami iaitu kakitangan Felda Sungai Merchang 02 dan Sungai Merchang 01 menyewa sebuah rumah kosong di kampung Jambu Bongkok untuk dijadikan pejabat sementara dan kami membuat persiapan untuk kerja-kerja ukur keliling serta mempastikan jadual kerja baru berjalan dengan lancar termasuklah kerja-kerja tebas dan tebang.
     Rakan setugas saya masa ini ialah Awang Sulung (kini pengurus di Felda Lembah Klau Pahang), Shafie Mamat (kini pengurus di Felda Sungai Tekam) dan Shafie Isa (berpindah ke Felda Plantation), Anang Awang (kini di Felda Plantation), Aziz (meninggal dunia), Wan Abdul Rahman (berpindah ke Felda Serting NS.
     Rutin kerja kami di peringkat awal membuka tanah Rancangan Sungai Merchang 2 (yang kemudiannya ditukar nama ke Felda Rantau Abang 02) ialah mengikut pasukan ukur untuk mendapatkan luas keliling rancangan. Pelbagai halangan yang kami terima termasuklah mengharung paya kercut bagi mendapatkan jalan pintas serta berdepan dengan masalah tanah milik orang kampung yang diteroka secara haram.
     Kami menyewa di kampung Jambu Bongkok, iaitu sebuah perkampungan nelayan yang indah yang sejajar dengan Pantai Rhu Kubur, Pantai Rantau Abang, Kuala Abang dan Dungun. Saya mendapat keluarga angkat di kampung ini yang dikenali sebagai Pak Omar (Haji Omar) bersama isterinya Makngah Zainah yang mencari rezeki sebagai nelayan.
    Ketua kampung Jambu Bongkok masa ini di kenali sebagai Pak Nasir yang juga merupakan anggota pencegah maksiat di kawasan itu.
     Ramai juga penduduk di sini yang bekerja sebagai penanam tembakau dan bekerja dengan ladang milik MARDI. Saya sempat berjumpa kawan lama iaitu Encik Ibrahim yang sama-sama belajar di Institiut Pertanian, dan beliau menjadi kakitangan MARDI di sini.
     Rasa seronok apabila hari minggu kerana kami dapat bersantai di pantai Rantau Abang, Tanjung Jara dan pantai Teluk Lipat sambil berkenalan dengan pelbagai pelancung luar Negara. Waktu malam di musim penyu bertelur, kami akan sama-sama ke pantai menyaksikan penyu bertelur. Itulah rutin kami semasa menjadi penduduk sementara di kampung Jambu Bongkok.
    Kampung Jambu Bongkok memang indah. Setiap petang kami akan berehat di pasir pantai, melihat bot nelayan bermain ombak sambil mencari remis atau berkejar menangkap ketam angin. Bila perahu nelayan berlabuh selepas pulang dari laut menangkap ikan; samada memukat, mengail atau mengangkat bubu, kami turut membantu menyorong perahu ke pantai dan kami mendapat upah ikan-ikan segar.
     Saya mendapat banyak pengalaman baru semasa bergaul dengan kaum nelayan di Kampung Jambu Bongkok, terutama mengenai laut dan juga musim. Rupanya bukan sahaja tidak semua musim nelayan boleh turun ke laut, dan juga bukan semua musim ikan di laut boleh ditangkap sesuka hati.
    Ada musim nelayan ke laut hanya untuk mengail di kawasan unjang yang telah dipasang. Ada pula musim nelayan ke laut untuk menahan bubu bagi mendapatkan ikan yang lebih besar. Ada pula musim nelayan memukat bilis di gigi pantai, musim udang baring untuk dibuat belacan, manakala ada musim yang lain nelayan akan keluar malam bagi mencandat sotong.
     Saya pernah mengikut nelayan ke laut waktu malam untuk mencanat sotong dan sesekali mengiku Pak Omar ke laut memancing Apollo. Memang menyeronokkan.
     Mulai bulan Ogos, nelayan sudah mula berehat dan terlalu berhati-hati untuk ke laut kerana laut boleh bergelora pada bila-bila masa. Begitu juga bila tiba musim tengkujuh, para nelayan akan mula beralih ke daratan untuk bercucuk tanam dan bekerja sebagai petani. Mana-mana nelayan yang tidak bertani akan berehat atau membaiki injin bot atau menyirat pukat. Saya selalu melihat Pak Omar menyirat pukat dan mengecat bot.
      Bila tiba musim tengkujuh pula nelayan akan mengumpul daun-daun kelapa untuk dijadikan benteng angin di rumah masing-masing (air back) kerana angin musim tengkujuh akan berhembus kencang dari laut tanpa henti. Angin ini juga akan membawa bersama wap masin yang boleh menyebabkan peralatan besi di rumah berkarat.
     Pak Omar mempunyai seorang anak gadis bernama Zaini. Kesian, menerusi keputusan peperiksaannya Zaini tidak mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Lebih malang lagi ibunya Makngah Zainah amat mengharapkan anak tunggalnya itu dapat memasuki maktab perguruan dan menjadi guru.
    Atas permohonan Pak Omar dan Makngah Zainah, saya mengajar Zaini Bahasa Melayu bagi menghadapi peperiksaan kertas Julai. Akhirnya Zaini Berjaya dalam peperiksaan BM Julai dan Berjaya memasuki Maktab Perguruan dan kini menjadi guru mengajar di salah sebuah sekolah di Batu Rakit.
    Semasa berada dperkampungan ini saya berkawan dengan seorang anak muda bernama Zakaria dan Zamri yang meminati bidang penulisan. Kami cepat mesra kerana saya sendiri amat meminati bidang penulisan. Zakaria dan Zamri suka mencipta sajak serta cerpen. Akhirnya kedua remaja ini memperkenalkan serta mencadangkan saya menjadi ahli Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).
     Di sini saya mula kenal Yang Berhormat Dato Abdul Rashid Ngah (pengarang Novel Di Bawah Alunan Ombak, Sharif Putra, Mahanie Sulong, Che Jamilah, Awang Abdullah, Hilmi Rindu, penyair JM Aziz dan beberapa nama lain.
     Saya sendiri mula berjinak dengan puisi, cerpen dan mula mengarang novel. Menerusi beberapa pertemuan serta kem, saya juga pernah terpilih sebagai johan dalam pertandingan puisi spontan bertemakan keindahan Pantai Teluk Telaga Simpul, pernah terpilih sebagai penulis produktif PELITA katogori Cerpen dan saya amat seronok bila beberapa tulisan dan cerpen saya mula mendapat tempat di akhbar-akhbar tabloid masa itu.
     Tugas hakiki saya dengan Felda masa ini ialah membangunkan kawasan baru daripada ukur kawasan hinggalah ke menanam anak sawit. Bagaimanapun pada masa ini pihak Felda akan menjadikan Felda Rantau Abang Dua sebagai kawasan Felda Plantation dan beberapa surat Opsyen dikeluarkan samada kami ingin berkhidmat dengan Felda ataupun Felda Plantations.
     Saya bersama dengan Awang Sulong, Shafii Mamat, Wan Abdul Rahman tidak bersetuju untuk bersama Felda Plantation yang kemudiannya saya terpaksa bertukar ke Felda Chemomoi, Triang , Pahang.









HAJI OMAR PADA BULAN OGOS 2010
MAKNGAH ZAINAH gambar OGOS 2010









Semasa berkursus di Kolej KINI Felda Kerteh baru-baru ini saya sempat singgah menjenguk ayah dan ibu angkat saya Haji Omar dan Makngah Zainah yang masih sihat di kampung Jambu Bongkok..alhamdulillah