....

.....

14 October 2010

BACA ARTIKEL POLITIK SEKEJAP

Nak berpolitik mesti tahan kena kutuk 
Dr Charles Rank 

Perkara ini ialah asam garam berpolitik. 
   Azmin kutuk Mahathir, Mahathir juga sering kali mengutuk Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dan Tuan Guru Abdul Hadi (TGAH) semasa beliau berkuasa. Tapi TGNA dan TGAH tidak pernah melatah dan ahli PAS juga tidak pernah memberi komen dalam akhbar. Yang saya dengar TGNA dan TGAH cuma kutuk Umno. Dan perkara yang disentuh dan dikomen ialah penyelewengan dalam Umno dalam semua hal termasuk kesucian agama Islam. 
    Tidak pernah kedua Tuan Guru ini mengutuk individu. Ada satu insiden di mana TGNA panggil Umno "barua". Tidak lama kemudian mantan PM kita ini telah mengunjungi Kelantan dan dalam ceramah, beliau terus menghentam TGNA dan mengutuk serta mengaibkan TGNA. Itulah Dr Mahathir yang sebenar. 
     Apalah sangat nak disanjung mantan Perdana Menteri itu. Projek-projek mega yang telah dijalankan dan sudah terlaksana bukannya dari duit poket dia. Semua duit projek dalam Malaysia ini ialah duit rakyat. 
   Nak kata beliau perjuangkan bangsa Melayu semasa beliau berkuasa, tidak juga. Saya tengok kaum Melayu tidak ada apa-apa bezapun kalau nak ‘dibenchmarkkan’ dengan kaum lain. Malah kaum Melayulah yang menjuarai serta menduduki "TOP ON THE LIST" dalam istilah penagihan dadah, peragut, mat rempit, pembuangan bayi, perogol dan rasuah. Inilah wacana yang ditiup dan dicanang atas nama PEMBANGUNAN oleh Umno. 
   Saya yakin jika ditakdirkan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa pada Pilihan Raya Umum 13 yang akan datang ini, parti PAS dapat membentuk kerajaan dengan berpandukan al-Quran dan Hadis. Masalah serta gejala penagihan dadah, mat rempit, pembuangan bayi, peragut, perogol dan rasuah akan pasti dapat dikurangkan, insya Allah. 
   * Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.


Belia Felda Kutuk Azmin Hina Dr Mahathir

JOHOR BAHARU, (Bernama) -- Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mengutuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Australia sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur."
    Presidennya Anuar Manap berkata kenyataan menghina oleh Azmin yang bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu merupakan usaha terdesaknya untuk meraih sokongan.
    "Janganlah terlalu mudah melabelkan pemimpin kita dan menghina hanya kerana ingin menang dalam perebutan jawatan dalam parti yang kita tahu sedang bergolak dan kacau bilau," katanya kepada Bernama hari Isnin.
    Anuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azmin yang menyifatkan Dr Mahathir yang sedang menerima rawatan di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur".
    Azmin membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR cabang Gombak semalam.
    Di KUALA LUMPUR, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee berkata kenyataan Azmin itu tidak mencerminkan pekerti seorang pemimpin Melayu.
    Beliau berkata pemimpin politik Melayu yang bermoral tidak akan menyerang peribadi pemimpin lain yang uzur atau sakit, malah dalam Islam digalakkan menziarahi atau mendoakan kesejahteraan untuk mereka.
    "Pemimpin Melayu yang berbudi bahasa, berpekerti mulia dan bersopan tidak sanggup mengeluarkan kata-kata berupa cercaan terhadap mereka yang sedang sakit, apatah lagi membabitkan seorang bekas Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini.
    Sementara itu Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dalam satu kenyataan berasingan menyifatkan tindakan Azmin itu sebagai biadap dan tidak menunjukkan tauladan yang baik kepada golongan muda.
    "Sebagai seorang pemimpin dan anggota Parlimen, YB Azmin seharusnya menjadi contoh kepada golongan belia dan kaum muda di mana tingkah laku pemimpin haruslah bersopan santun walaupun terhadap musuh politiknya," katanya.



Galas: Pertempuran Personaliti Antara Tengku Razaleigh Dan Nik Aziz?

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Keputusan pucuk pimpinan Nasional (BN) memilih pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya parti bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan datang dialu-alukan oleh parti komponen BN dan penganalsis politik.
   Mereka yakin personaliti utuh anggota Parlimen Gua Musang itu akan menjadi faktor utama yang dapat membantu BN merampas semula kerusi DUN Galas, berdasarkan rekod baik dan pengaruh beliau di kawasan itu.
   Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr P. Sivamurugan berkata bagi memenangi semula sokongan kepada BN di Galas, tiga puak dalam Umno Kelantan perlu memberikan sokongan padu kepada Tengku Razaleigh.
   "Mereka perlu menggunakan strategi Manik Urai, iaitu hanya ada satu pasukan," katanya semasa dihubungi.
   Sivamurugan berkata walaupun Tengku Razaleigh mendapat sokongan padu daripada partinya di Gua Musang, beliau masih perlukan sokongan pemimpin Umno negeri seperti pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas pengerusinya Tan Sri Annuar Musa dan timbalan pengerusi sekarang Datuk Dr Awang Adek Hussein untuk membantu beliau sebagai pengarah pilihan raya.
   "Jika mereka ini tidak memberikan sokongan padu kepadanya, dengan itu agak sukar bagi Tengku Razaleigh walaupun beliau merupakan ikon di kawasan itu," katanya.
   Tengku Razaleigh menjadi Adun bagi Hulu Kelantan Barat pada 1969 dan kemudiannya anggota Parlimen Hulu Kelantan sejak 1974. Hulu Kelantan kemudiannya diubah nama kepada Gua Musang pada pilihan raya umum 1986.
   Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS akibat barah usus pada 27 Sept.
   Dalam pilihan raya umum 2008, beliau memperoleh 4,399 undi, menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.
   Selain memilih Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya, pucuk pimpinan BN juga berkata mereka akan memilih calon setempat untuk bertanding di kerusi itu.
   "Dalam pilihan raya umum lepas, jumlah yang mengundi di kerusi ini agak tinggi, kira-kira 80 peratus ekoran kedua-dua pihak meletakkan calon setempat berwibawa. Bagaimanapun, satu-satunya masalah yang perlu ditangani BN ialah mengenai kemerosotan sokongan di kalangan bukan Melayu," kata Sivamurugan.
   Hakikatnya, katanya kegagalan BN mengekalkan kerusi itu pada 2008; pertama kali mereka tewas, adalah disebabkan kemerosotan sokongan daripada pengundi Cina kerana undi Melayu terbahagi antara Umno dan PAS.
   Menurut senarai daftar pemilih yang lepas, terdapat 10,330 pengundi di kawasan itu, 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina, 10.5 peratus Orang Asli dan 1.8 peratus India. Kebanyakan masyarakat Cina tinggal di pekan Gua Musang.
   "Kaum Cina pasti akan terpengaruh dengan pilihan raya kecil ini. Oleh itu, strategi BN perlu menumpukan mengenai bagaimana mereka memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang, iaitu kerana faktor calon dan bukannya faktor parti," katanya.
   Bagaimanapun, Pengerusi Gerakan Kelantan Datuk Ng Chiang Chin berkata kemerosotan sokongan kaum Cina kepada BN di kawasan itu tidak boleh dipersalahkan bagi keputusan pilihan raya umum di kawasan itu.
   "Dalam pilihan raya umum lepas, keadaan agak huru-hara. Sebab itu kita menyaksikan penurunan sokongan kaum Cina. Bagaimanapun, dalam pilihan raya kecil kelak, dengan jentera yang lebih tersusun dan lebih bersedia, kita mempunyai peluang lebih baik," katanya.
   Walaupun Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu, masih merupakan pertandingan yang sukar bagi BN ekoran beberapa isu.
   Seperti ditegaskan oleh Sivamurugan, isu utama ialah royalti minyak untuk Kelantan.
   "PAS pasti akan memainkan isu bagaimana Tengku Razaleigh menyokong kerajaan negeri pimpinan PAS itu dalam tuntutan bagi royalti minyak.
   "Sebab itu kenapa dalam pilihan raya kecil ini, kita bakal menyaksikan pertempuran personaliti antara Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik (Abdul) Aziz Nik Mat," katanya.